MAHKAMAH Rayuan Paris semalam telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia menggantung penguatkuasaan Final Award berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, asas keputusan mahkamah terhadap Final Award yang dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari Tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai (semalam) tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Wan Junaidi lagi, berikutan kejayaan mendapatkan Perintah Penggantungan Final Award itu, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala Tuntutan tersebut dan mempastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.
Mengulas lanjut mengenai tuntutan waris Sulu itu, Wan Junaidi menyatakan pada 11 Julai lalu, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.
Menurutnya, Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.
“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf Tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat,” tegas beliau.
Berikutan itu, kata Wan Junaidi, Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan perundangan di Madrid termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan Perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020.
Selain itu, Kerajaan Malaysia juga telah membuat permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan Partial Award on Jurisdiction bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa.
“Berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr. Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr. Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.
Menurut Wan Junaidi, Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.
“Pada 29 September 2021, pihak Penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex parte daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf Partial Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr. Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.
Bahkan ujar Wan Junaidi lagi, Kerajaan Malaysia telah mencabar Perintah Exequatur yang diperolehi secara ex parte tersebut dan Kerajaan Malaysia telah berjaya memperoleh Perintah Penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.
“Ini bermakna pihak Penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperolehi pada 29 September 2021.
“Bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan tersebut, Penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.
Selain itu menurut Wan Junaidi, prosiding jenayah terhadap Dr. Stampa juga difailkan oleh Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding bagi perkara berkenaan masih berjalan.
-EDISI9