24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kerajaan lancar BP3.0, tumpuan penyediaan baki unit RKMAT

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN melancarkan Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 atau BP3.0 bagi menumpukan penyediaan baki keperluan 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) seluruh negara menerusi lima fasa bermula tahun 2023 hingga 2030.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BP3.0 merupakan agenda perumahan menyeluruh bagi menambah baik aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran dan warga awam yang mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dalam melestarikan kebajikan warga kerja Pertahanan.

Beliau berkata, memiliki tempat untuk berteduh sememangnya menjadi impian semua orang terutamanya mereka yang berkeluarga, lebih-lebih lagi tempat yang selesa dan kondusif kerana ia menyumbang kepada perkembangan sihat sesebuah keluarga.

“Kerajaan menyanjung tinggi pengorbanan warga kerja Pertahanan yang tidak menghiraukan penat lelah untuk mempertahankan keamanan negara tanpa mengira masa dan tempat, malah sanggup meninggalkan keluarga untuk berjuang di perbatasan.

“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dilakukan seperti Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT), program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR) serta perumahan mampu milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta program-program pembaikan serta pembinaan rumah veteran ATM.

“Di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada dua unit kepada satu unit,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Dokumen Blueprint Perumahan 3.0 di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Perdana Menteri melancarkan buku ‘coffee table’ mengenai beliau ketika menjawat jawatan Menteri Pertahanan sebelum ini.

Di bawah program pemilikan rumah mampu milik juga katanya, di bawah projek SASaR sahaja sebanyak 3,500 unit sedang dibina di Sungai Besi dan dijangka siap pada tahun 2025.

“Selain itu, sebanyak 6,400 unit di Kem Genting Klang dan 974 unit di Kem Wardieburn turut akan dibina di bawah Blueprint 3.0.

Advertisements

“Saya juga dimaklumkan bahawa 552 unit RKMAT lagi dijangka siap dan boleh diduduki selewat-lewatnya pertengahan dan penghujung tahun 2022 serta kira-kira 1,474 RKMAT telah diselenggara.

“Ia tidak termasuk pembinaan rumah mampu milik di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dan inisiatif perumahan veteran. Alhamdulillah kita kini bergerak di landasan yang betul,” katanya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga jelasnya, telah menyuarakan komitmen untuk menyediakan kuota khas kepada warga pertahanan termasuk veteran bagi setiap projek rumah mampu milik mereka.

Justeru di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara.

Dalam masa yang sama, beliau berkata lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya satu unit baru dibina, empat unit akan dinaik taraf.

“Sebanyak 100 buah rumah veteran disasarkan untuk dibaik pulih dan dibina baharu pada tahun ini.

“Sejak 1 Januari lalu, empat projek RKMAT telah disiapkan termasuk RKMAT Kem Segamat yang saya rasmikan pada 6 Mac lalu. RKMAT Kem Oran di Perlis, RKMAT Kem Pakit dan Kem Sri Miri di Sarawak dan RKMAT Kem Tok Jalai di Kedah, pula akan diduduki dalam masa terdekat.

“Semua projek RKMAT ini melibatkan 672 unit pelbagai kelas. RKMAT Kem Bera dan RKMAT Kem Tumbi pula bakal siap dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Dalam program tersebut, beliau turut melancarkan buku Ismail Sabri Yaakob: Teraju Keselamatan Depani Ancaman Covid-19 yang dikarang oleh Pengarah Media dan Komunikasi Strategik kepada Perdana Menteri, Datuk Ruhaini Abdul Kadir. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan