KERAJAAN disaran menjadikan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai ‘rakan kongsi’ dalam usaha menyelesaikan isu berkaitan pelarian dan pencari suaka di negara ini.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, berkata kerajaan harus menghormati prinsip non-refoulement yang melarang negara daripada menghantar pulang atau mengusir pelarian, selaras dengan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
Katanya, kritikan dan cadangan yang dilontarkan oleh suruhanjaya itu juga harus diterima secara membina oleh setiap agensi kerajaan.
“Tiada rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan mempertimbangkan untuk menghantar pulang pelarian Palestin ke Gaza sewaktu jenayah perang sedang berlaku dan prinsip yang sama mesti digunakan dalam semua keadaan, termasuk pelarian Myanmar dan pencari suaka di sini.
“Saya yakin Kerajaan Madani akan memberi kepentingan yang sewajarnya untuk mengetepikan dan membatalkan pendekatan punitif sebelum ini terhadap pencari suaka dan pelarian serta mengguna pakai pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dan berasaskan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh, berkata wujud jurang dalam dasar, undang-undang, sikap dan pendekatan dalam urusan menguruskan kumpulan pelarian ini, ekoran Malaysia tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.
“Tiada terma undang-undang untuk membezakan antara pendatang tanpa izin (PATI), pencari suaka dan pelarian di Malaysia.
“Kekurangan huraian dalam rangka kerja undang-undang atau dasar domestik, menyebabkan mereka dikumpul di bawah satu kategori iaitu ‘PATI’.
“Inilah yang mengakibatkan diskriminasi, stigmati dan fitnah. Ketiadaan perbezaan yang jelas dalam istilah antara pekerja tanpa dokumen, pelarian dan pencari suaka merisikokan mereka untuk ditangkap, didakwa, tahan, usir dan hantar pulang.
“Ia juga mengehadkan keupayaan mereka untuk mendapat akses peluang pekerjaan, kesihatan dan pendidikan yang sah, mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis penderaan, eksploitasi dan pelanggaran hak yang lain yang berleluasa,” katanya. -Edisi 9