MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak bersifat mengikat dari segi perundangan serta tiada sebarang kaitan dengan mana-mana perjanjian perdagangan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, instrumen kerjasama pertahanan yang ditandatangani bersama Jabatan Pertahanan AS pada 30 Oktober lalu di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus itu adalah MoU, bukannya perjanjian seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
“MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS ini bersifat tidak mengikat (non-binding) dari segi perundangan dan telah dirundingkan sejak tahun 2020 iaitu lima tahun yang lalu.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS ini tiada kaitan dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang telah dimeterai pada 26 Oktober 2025 di sela-sela ASEAN Summit di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjawab dakwan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Kerajaan Malaysia telah menandatangani satu perjanjian kerjasama pertahanan baharu dengan AS.
Dakwa Dr. Mahathir, perjanjian ini ditandatangani empat hari selepas ART dimeterai.
Mohamed Khaled menjelaskan, kandungan MoU tersebut tertumpu kepada kerjasama dua hala melibatkan pembangunan keupayaan dan kapasiti pertahanan, latihan serta eksesais ketenteraan, sains dan teknologi, industri pertahanan serta bidang lain yang dipersetujui bersama.
Jelas beliau, kerjasama itu dilaksanakan menerusi Malaysia–US Strategic Talk (MUSST) yang telah berlangsung secara berterusan sejak tahun 2008.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, pemeteraian MoU pertahanan dengan negara rakan adalah sebahagian daripada diplomasi pertahanan Malaysia seperti yang digariskan di bawah Tonggak Ketiga Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dilancarkan oleh Dr Mahathir sendiri selaku Perdana Menteri Ketujuh pada 2019.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia turut memeterai MoU Kerjasama Pertahanan dengan beberapa negara lain sebelum ini termasuk China (2016), Jepun (2018), Laos (2019), Indonesia (2022), Vietnam (2023) serta yang terbaharu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Disember 2025.
Pemeteraian MoU dengan negara-negara tersebut, termasuk AS, jelas beliau, adalah selari dengan dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali serta komitmen negara terhadap Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang dimeterai oleh ASEAN pada 1971.
“Kementerian Pertahanan merakamkan penghargaan atas keprihatinan Dr Mahathir dalam perkara ini dan menegaskan bahawa pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS adalah atas kepentingan negara dalam usaha memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur,” katanya. – Edisi 9

