PIHAK yang menjadikan proses pengampunan Datuk Seri Najib Razak sebagai modal berpolitik dengan bersolidariti secara bermusim sebagai sangat memualkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apatah lagi mengenang segala nista yang pernah mereka lemparkan terhadap bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu sebelum ini.
“Proses pengampunan Datuk Seri Najib bukan modal politik untuk mana-mana pihak. Menjadikan ia taruhan untuk populariti adalah sangat tidak bermoral,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas keputusan Pas untuk meneruskan perhimpunan solidariti Najib di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya 6 Januari ini.
Pada masa sama parti itu mempersenda tindakan UMNO yang tidak meneruskan perhimpunan tersebut bagi menjunjung titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong semalam.
Khaled berkata, UMNO bukanlah parti yang gemar menjadikan sesuatu isu sebagai taruhan politik dan atas sebab itu UMNO akur dengan hikmah diraja dan senantiasa akan bertindak secara berpelembagaan.
“Mereka yang menegaskan himpunan 6 Januari ini sah dan akan meneruskannya, membelakangi nasihat pihak berkuasa, adalah pemain ‘politik tanpa moraliti’.
“Jika agama dan kaum pun dijadikan komoditi politik oleh kumpulan tersebut, inikan pula kes Datuk Seri Najib.
Menteri Pertahanan itu berkata, bagi mereka, moral, undang-undang, perlembagaan, keamanan negara, perpaduan nasional serta keharmonian beragama, semua itu bukan asbab untuk mereka berpolitik.
“Semua itu, tersedia untuk dieksploitasi demi ‘optik’ politik, tidak lebih dari itu,” katanya.
Khaled berkata, iltizam UMNO memperjuangkan keadilan bagi Najib adalah nyata dan tidak akan terhenti.
Katanya, iakan dilakukan secara perlembagaan dan tidak akan tersasar dari proses undang-undang.
“Ramai yang bertanya kenapa UMNO tidak boleh terpisah dengan bekas Presidennya.
“Jawapannya ialah kerana UMNO setia dengan bekas Presiden atas jasanya pada bangsa dan negara.
“Apa jua kekurangan dan kelemahan, justeru jika ada kesalahan sekalipun, tidak akan dapat mengatasi lautan darmabaktinya pada tanah air dan bangsa.
“Dan UMNO tidak akan meminggirkan mereka yang bersetia dengannya. Apalagi pada seorang bekas Presidennya.
“Maka demikianlah UMNO dalam persahabatannya dengan Datuk Seri Najib,” katanya. – Edisi 9