PENGGUNAAN media sosial tanpa kawalan dan bimbingan yang berkesan meningkatkan risiko kanak-kanak terdedah kepada eksploitasi seksual dalam talian termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM).
Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Nur Shahidah Pa’ad berkata, akses tanpa sempadan kepada platform digital, ketiadaan penapisan kandungan yang efektif serta kurangnya panduan ibu bapa menjadikan kanak-kanak sasaran mudah individu berisiko tinggi.
“Kanak-kanak juga lazimnya belum memiliki kematangan kognitif dan emosi untuk membezakan antara interaksi yang selamat dan berbahaya, menjadikan mereka sasaran mudah eksploitasi,” katanya ketika dihubungi Edisi 9.
Menurut beliau, pendedahan awal dan berulang kepada kandungan seksual boleh membawa kepada normalisasi tingkah laku seksual yang tidak selari dengan tahap perkembangan kanak-kanak, sekali gus menjejaskan pembentukan nilai moral dan sosial.
Tambahnya, gejala tersebut juga berpotensi mencetuskan ketagihan media sosial, kekeliruan identiti serta meningkatkan risiko penglibatan dalam jenayah siber pada usia yang sangat muda.
Dalam pada itu, Nur Shahidah menegaskan peranan ibu bapa sebagai benteng utama perlindungan kanak-kanak dalam dunia digital amat kritikal dan tidak boleh dipandang ringan.
“Ibu bapa yang memiliki kemahiran keibubapaan dan literasi digital yang baik berupaya membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara lebih selamat, beretika dan berfaedah.
“Namun, kawalan yang terlalu ketat berpotensi mencetuskan pemberontakan dan tingkah laku sembunyi, manakala kebebasan tanpa kawalan pula meningkatkan risiko,” jelasnya.
Beliau berkata, pendekatan kawalan yang berkesan perlu bersifat seimbang, berasaskan pendidikan, dialog terbuka dan pembinaan kepercayaan, bukannya semata-mata berbentuk hukuman yang boleh mendorong tingkah laku sembunyi.
Mengulas cadangan tindakan kerajaan menyekat akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur, beliau menjelaskan isu tersebut perlu dilihat dalam kerangka kepentingan terbaik kanak-kanak, bukan semata-mata atas nama kebebasan individu.
“Kebebasan yang membawa kepada kemudaratan, keruntuhan moral dan ancaman keselamatan tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak.
“Dalam konteks kanak-kanak, prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak (best interests of the child) perlu mengatasi kebebasan akses digital,” katanya.
Namun, tegas beliau, sebarang bentuk kawalan oleh kerajaan perlu dilaksanakan secara telus, jelas dan bersifat mendidik agar tidak dilihat sebagai menindas, sebaliknya sebagai usaha perlindungan sosial jangka panjang.
Nur Shahidah turut menekankan bahawa usaha menangani CSAM memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, ibu bapa, pendidik dan masyarakat.
“Kesedaran awam mengenai CSAM perlu dipertingkatkan agar masyarakat memahami bahawa isu ini bukan isu terpencil, tetapi masalah kolektif yang memerlukan tanggungjawab bersama,” katanya. — Edisi 9

