Tuesday, July 21, 2026

Dividen  LTAT 5.35 peratus, tertinggi dalam tempoh lapan tahun

LTAT mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM749.5 juta dengan keuntungan boleh diagihkan RM541.5 juta.

Mesti Baca

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menggumumkan kadar dividen 5.35 peratus bagi tahun 2025 iaitu yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun walaupun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LTAT mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM749.5 juta dengan keuntungan boleh diagihkan RM541.5 juta.

Manakala dana rizab pula, menurut beliau, meningkat daripada RM1 bilion kepada RM1.3 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan LTAT demi kepentingan para pencarum warga ATM.

“LTAT terus memperkukuh portfolio pelaburan secara berhemah.

“Prestasi Pharmaniaga Berhad turut menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat lapan suku berturut-turut keuntungan, sekali gus meletakkannya pada landasan terbaik untuk keluar daripada status PN17 dalam tempoh terdekat,” katanya hari ini.

Mohamed Khaled berkata, LTAT telah memperkenalkan Pelan Halatuju Strategik 2026–2030 (GEMPUR30) bagi memacu prestasi pelaburan serta menyokong pengukuhan industri pertahanan negara melalui Dasar Industri Pertahanan Negara.

“Melalui Kumpulan Boustead, LTAT menyokong pembangunan industri pertahanan dan perumahan anggota ATM termasuk SASaR dan RKAT. 

“Melalui Pharmaniaga, LTAT memperkukuh keupayaan industri farmaseutikal serta rantaian bekalan ubat-ubatan negara,” katanya.

LTAT juga tambah beliau, akan terus menyokong kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelbagai program dan inisiatif di kem-kem ATM dengan peruntukan melebihi RM1.5 juta sepanjang tahun 2025.

“Pengumuman ini diharap membawa khabar gembira kepada para pencarum. Tahniah kepada LTAT atas pencapaian ini,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan