27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hati-hati tawaran kolej swasta menerusi Whatsapp, SMS

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

“ANAK saya dapat panggilan ke UM…” Teringat kisah beberapa tahun lalu, seorang jiran di kampung memberitahu anak lelakinya dapat panggilan ke Universiti Malaya.

Saya mengucapkan syukur dah tahniah kepada beliau dan anaknya. Maka hari yang dijanjikan untuk mendaftar, saya ikut sekali.

Bukan jiran saya itu sahaja, malah ramai lagi membawa anak-anak mereka di sebuah dewan dalam kampus Universiti Malaya. Dari pagi mereka diberikan taklimat itu ini tentang kursus automotif yang disediakan.

Rupa-rupanya mereka termasuk anak jiran saya itu bukan diterima masuk ke universiti tersohor itu, tetapi sebuah institut latihan (sekarang dikenali sebagai TVET) yang membuka tawaran belajar di institut mereka.

Mereka menggunakan dewan di kampus UM untuk memberikan taklimat tentang institut tersebut dan jika ada ibu bapa yang berminat boleh mendaftar.

Antara tawaran kemasukan ke kolej untuk anak saya yang saya terima menerusi Whastapp.

Namun, apabila mereka sudah membuat pembayaran pendaftaran dan apabila mereka dibawa ke ‘kampus’ sebenar mereka, ternyata kampus mereka hanya sebuah institut latihan di rumah kedai 3 tingkat.

Di tingkat bawah terdapat sebuah kereta buruk yang saya percaya akan dijadikan tempat latihan pelajar dengan sebuah ‘pejabat’ berdinding papan lapis.

Asrama pula ditempatkan di tingkat paling atas, iaitu ruang pejabat yang diubah suai menjadi asrama. Tingkat dua pula dijadikan kelas belajar.

Bayangkan betapa kecewa ibu bapa yang rata-rata orang kampung dari seluruh negara mengharapkan anak-anak mereka belajar di “Universiti Malaya” rupanya hanya belajar di rumah kedai, tanpa asrama yang selesa.

Mereka dah datang dari jauh, bawa barang-barang keperluan asrama, naik bas satu keluarga, sudah bayar yuran pendaftaran yang tidak sedikit, apakah mereka akan pulang sahaja bila melihat keadaan “universiti” tempat anak mereka akan belajar?

Sebab itulah, apabila saya sebagai bapa kepada anak yang baharu mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 langsung tidak teruja apabila mendapat berpuluh-puluh mesej dan Whatsapp bertulis:

“Tahniah, anak anda diterima masuk untuk mengikuti pengajian bidang bla bla bla. Sila datang ke sekian sekian tempat untuk melaporkan diri…”

Dulu saya agak hairan, bagaimana pihak-pihak kolej swasta ini mendapat maklumat tentang anak-anak yang mengambil SPM atau nombor ibu bapa mereka.

Tetapi sekarang saya sudah tahu. Ada pihak-pihak yang tidak amanah telah ‘menjual’ maklumat pelajar dan ibu bapa mereka kepada pihak-pihak tertentu untuk mendapat pulangan.

Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak, tetapi siapa yang memiliki maklumat pelajar SPM dan ibu bapa mereka? Jawapan ini saya serah kepada pembaca.

Pihak kolej swasta juga yang “lapar” pelajar demi survival akan melakukan apa sahaja kerana tanpa pelajar yang mendaftar masuk, mereka tiada pendapatan dan keuntungan.

Sebab itulah mereka masing-masing ghairah menarik pelajar terutama mereka yang mendapat keputusan sederhana dan rendah. Cara terbaik menggunakan ibu bapa dengan memberi “harapan” kepada mereka.

Ibu bapa yang tinggal di kampung, tidak begitu memahami keadaan akan terpengaruh dengan “tawaran” kolej-kolej swasta ini yang akan menjanjikan pemberian biasiswa atau pinjaman PTPTN yang bayarannya tidak sedikit.

Oleh kerana mahu melihat anak masuk “universiti” maka ibu bapa akan berusaha mencari wang untuk mendaftar ke kolej berkenaan, tanpa mempedulikan lokasi kampus, fasilitinya dan yang penting akreditasi.

Justeru, pesanan saya kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang baru mendapat keputusan SPM, jangan cepat terpengaruh dengan tawaran melalui pesanan SMS atau Whatsapp yang diterima.

Ini ada tawaran-tawaran yang diterima itu langsung tidak menyebut nama kolej melainkan “sebuah institut pengajian tinggi ternama”. Bagi saya ini adalah perangkap.

Jika kolej berkenaan benar-benar jujur, mereka sepatutnya menyertakan nama kolej mereka, bidang pengajian yang ditawar, berapa yuran yang harus dikenakan dan bagaimana proses permohonan PTPTN dan lain-lain lebih awal.

Bukan semuanya dimaklum hanya selepas ibu bapa sudah datang ke tempat pendaftaran atau telah membayar yuran pendaftaran. Jangan sesekali menganiaya ibu bapa semata-mata mahu memancing anak-anak mereka belajar di kolej mereka.

Ibu bapa ini kebanyakan orang susah, terpaksa bergolok-bergadai nak bawa anak datang mendaftar di ibu negara. Itu belum lagi soal perlu membeli keperluan anak-anak yang mahu masuk “asrama”. Jangan!

Jangan hanya kerana demi strategi pemasaran, menghalalkan segala cara. Doa orang teraniaya ini Allah dengar.

Kepada ibu bapa, berhati-hatilah. Jangan ghairah sangat nak tengok anak masuk universiti sampai terima segala tawaran yang ada. Jangan sampai sudah terantuk baru terngadah! Dah banyak kes berlaku…

Lastik! – Sekolah pondok sahaja

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan