24.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, August 16, 2022

Bicara kes pecah amanah, ubah wang haram Syed Saddiq esok

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram, akan bermula esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kes itu akan didengar oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid pada 9 pagi.

“Bicara akan berjalan esok. Enam saksi pendakwaan dijangka beri keterangan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil 40 saksi pada perbicaraan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 21 dan 22 Jun, 4 hingga 8 Julai dan 18 hingga 22 Julai untuk mendengar kes tersebut.

Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 November tahun lepas, permohonan itu dibenarkan.

Pada 22 Julai 2021, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Baca juga:   Faktor kemenangan besar BN dalam PRN Melaka

Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Baca juga:   Syed Saddiq kekal pengakuan tidak bersalah

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Baca juga:   JBPM jejak semula Acap, jadikan 'Acap Trail' fokus pencarian

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Baca juga:   Kabinet Mahathir benarkan kalimah Allah diguna penganut Kristian

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – Bernama

Terkini

Projek MARA Digital diteruskan – PM

PROJEK MARA Digital akan diteruskan bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi maklumat (IT). Perdana Menteri, Datuk...

Lagi Artikel Berkaitan