24.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 4, 2022

PM mahu FAM contohi pasukan Vietnam, Chelsea

Beri tumpuan dalam pembangunan bola sepak di peringkat awal dengan ekosistem lengkap

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meningkatkan pembangunan di peringkat awal sepertimana dilakukan oleh pasukan Vietnam dan Chelsea.

Beliau berkata, pasukan Vietnam yang 15 tahun dahulu berada di ranking ke-172 dunia tetapi kini menjadi satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Menurut Perdana Menteri, apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal.

“Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjasama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam.

“Jika kita memperhebatkan program pembangunan seperti akademi yang bermula daripada daerah dan seterusnya negeri, kita juga akan dapat melahirkan pemain-pemain yang bagus dan berbakat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Ibu Pejabat Baharu FAM di Presint 5, Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Perdana Menteri melakukan majlis pecah tanah pembinaan Ibu Pejabat FAM yang baharu di Presint 5, Putrajaya hari ini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut mahukan agar kelab-kelab di negara ini mencontohi The Blues yang mencipta ekosistem bola sepak yang cukup lengkap sehingga menjadi antara kelab gergasi di dunia.

“Akademi mereka (Chelsea) mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda 9 tahun hingga 23 tahun, satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa.

Baca juga:   Tak elok gelar sesiapa pun 'pelacur' - Najib
Baca juga:   PM bangkit kekecewaan Malaysia kepada Setiausaha Agung PBB

“Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu. Ini yang patut dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak di negara ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pembangunan bola sepak bukan sekadar infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata tetapi juga melibatkan pembangunan pemain yang sistematik.

Jelas beliau, ia perlu bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.

“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi. Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan yang rapi. Failing to plan is planning to fail,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa bola sepak adalah sukan paling popular di Malaysia manakala pasukan negara mempunyai peminat yang ramai serta penyokong setia iaitu Ultras Malaya.

Katanya, peminat dan penyokong ini sentiasa dahagakan kejayaan skuad negara sama ada di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun antarabangsa.

“Kerana itu, sentiasa menjadi harapan peminat dan penyokong Harimau Malaysia agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menyambut baik langkah FAM yang melancarkan Peta Hala Tujunya iaitu F:30 pada 2018 lalu yang menjadi simbol kesungguhan persatuan itu melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan pasukan bola sepak Malaysia yang disegani.

Baca juga:   10 stesen minyak disiasat jual RON95 kepada warga asing

Katanya, sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.

“Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka,” tegas beliau.

Baca juga:   Harga ayam tidak diapung, tarif elektrik, air kekal - PM

Katanya, seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih yang terbaik dari usia muda manakala seorang jurulatih pula perlu mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar.

“Proses ini bukanlah satu rahsia besar tetapi menjadi formula kejayaan untuk mana-mana pasukan,” tambah Perdana Menteri.

Beliau berkata, dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat, ia sekaligus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Kerajaan pandang serius isu keciciran pendidikan Orang Asli

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memandang serius isu keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli yang mencatat lebih 10 peratus. Menterinya,...

Lagi Artikel Berkaitan