28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Jentera parti politik dari Pahang positif Covid-19

Parti politik berkenaan dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi prosedur SOP yang ditetapkan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengenal pasti 23 orang kontak rapat kepada seorang petugas jentera sebuah parti politik yang didapati positif Covid-19 dan diarahkan untuk menjalani kuarantin.

Pengarahnya, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, individu berasal dari Pahang itu berada di negeri berkenaan sejak 1 November lalu, bagi membantu jentera partinya dalam pilihan raya di Melaka dan arahan penutupan bilik gerakan dikeluarkan bermula hari ini, memandangkan terdapat risiko penularan di lokasi itu.

Menurutnya, individu tersebut dikesan positif melalui ujian RTK-Ag di sebuah klinik swasta pada 9 November selepas mengalami gejala dan sedang menunggu keputusan RT-PCR.

“Semua kontak rapat dari Pahang yang juga petugas dan rakan serumah, sudah diarahkan melakukan ujian sama serta menjalani kuarantin bermula semalam.

“Siasatan juga mendapati selain daripada hanya berada di rumah sewa yang bertindak sebagai ‘Call Centre’, individu positif itu juga ada melawat Bilik Gerakan parti politik berkenaan di Alai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Rusdi berkata, kompaun bernilai RM10,000 turut dikenakan kepada parti politik itu di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, ia berikutan tiada saringan suhu dijalankan, tiada buku rekod kehadiran disediakan dan gagal mengemukakan rekod saringan ujian RTK-Ag kendiri setiap dua hari, yang perlu dijalankan terhadap petugas atau jentera pilihan raya.

“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengenal pasti kontak-kontak rapat dan kontak sosial yang lain, dan selepas proses disinfeksi selesai dijalankan segala ketidakpatuhan diperbaiki, pihak berkenaan boleh membuat permohonan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk penilaian risiko bagi membuka semula Bilik Gerakan berkenaan.

“Penularan dalam skala lebih besar boleh berlaku sekiranya pesakit positif Covid-19 terdedah dalam kalangan masyarakat dan menyebabkan kewujudan kluster baharu,” katanya.

Justeru itu menurutnya, jabatan kesihatan memandang serius perkara yang berlaku dan jentera pilihan raya semua parti serta orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan