28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pengundi PRN Melaka dinasihat keluar lebih awal

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGUNDI pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15, Sabtu ini dinasihat untuk tidak menunggu di saat-saat akhir untuk keluar membuang undi.

Malahan 476,037 pengundi berdaftar juga diminta agar sentiasa mematuhi semua undang-undang, peratura dan garis panduan pencegahan COVID-19.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata, pengundi disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui beberapa saluran, antaranya portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pemilih.

“SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak, meletakkan maklumat Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

“Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” jelasnya.

Selain itu jelasnya, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini.

Seramai 476,037 individu biasa yang layak mengundi pada PRN Melaka ke-15 dengan seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 orang telah mengundi secara pos. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan