25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

19 ditahan jual beli darjah kebesaran diraja Kedah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 19 individu ditahan polis kerana dipercayai terbabit menggunakan Darjah Kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) sebelum mendapat kurniaan daripada Sultan Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima aduan itu pada 5 Oktober lalu dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berikutan kes berkenaan.

Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan operasi menahan semua individu berdasarkan maklumat yang diperolehi.

“Kesemua 19 individu itu terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan berusia antara 30 hingga 63 tahun yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza.

“Tangkapan dilakukan berasingan di beberapa lokasi di sekitar negeri ini dan beberapa negeri lain di Semenanjung Malaysia sejak 7 November sehingga semalam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kamarul Zaman berkata, daripada tangkapan ini membawa rampasan beberapa barangan termasuk aksesori dan dokumen serta peralatan berkaitan yang digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti ini.

Beliau berkata, turut dirampas, kad keahlian Jemaah Dato Negeri Kedah yang palsu, jata negeri dan beberapa barangan yang berkaitan dengan darjah kebesaran itu.

“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini mula aktif sejak tahun 2015 dengan menggunakan modus operandi iaitu mendekati individu yang dikenal pasti sebagai golongan elit dan ahli perniagaan serta menawarkan gelaran darjah kebesaran negeri Kedah dengan meminta sejumlah bayaran antara RM25,000 hingga RM103,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Kes sudah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri dan dipersetujui untuk menjalankan pertuduhan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787),” katanya.

Ujar beliau, hukuman yang diperuntukan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) adalah apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun.

Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) penjara tidak lebih satu tahun.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah menjadi mangsa kepada sindiket seperti ini dan jika sesiapa yang menerima anugerah secara tidak diiktiraf boleh menyemak melalui Kerajaan Negeri Kedah melalui saluran rasmi yang ditetapkan. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan