28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Anak anjing seludup bernilai sehingga RM5,000 seekor dirampas

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 21 ekor anak anjing seludup yang dianggarkan bernilai RM3,000 ke RM5,000 seekor
di Taman Permai, Gual Nering, Rantau Panjang, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, anggota bertugas terserempak Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Kubang Rambutan, Rantau Panjang.

Menurutnya, anggota cuba menahan kenderaan berkenaan namun pemandunya bertindak memecut laju ke arah Pasir Mas untuk melarikan diri.

“Anggota terus mengekori Pajero terbabit sebelum pemandu mengubah arah ke Taman Permai dan berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui sembilan sangkar mengandungi 21 ekor anak anjing bernilai RM168,000 disyaki dibawa seludup dari Thailand.

“Pemandu ditahan manakala semua anjing dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nor Azizan berkata, anak anjing itu juga akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Negeri Kelantan untuk tindakan seterusnya.

“Kesemua anak anjing berkenaan dipercayai dibawa seludup melalui jalan sungai untuk memenuhi permintaan peminat haiwan peliharaan tempatan.

“Biasanya, ia dijual pada harga serendah RM3,000 sehingga RM5,000 seekor. Walaupun harganya agak mahal, namun ia masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pencinta haiwan.

“Kekerapan penyeludupan haiwan peliharaan berkemungkinan kerana nilainya yang lebih murah ditawarkan di negara jiran selain turut mendapat permintaan bukan saja dari Kelantan, malah negeri lain,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan