25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Murid kelas peperiksaan tidak perlu penggiliran ke sekolah – KPM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEMUA institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran mulai 8 November ini.

KPM berkata, keputusan berkenaan dibuat hasil perbincangan bersama-sama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira kadar vaksinasi dalam kalangan murid kelas peperiksaan.

Menurutnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa hadir tanpa penggiliran bagi negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya) akan bermula pada 8 November ini.

“Manakala, pengoperasian bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) juga bermula pada 8 November ini kerana 7 November adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali yang diperuntukkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 bagi sekolah bawah KPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPM, pengoperasian berkenaan melibatkan kehadiran murid kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

“Bagi institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa pengoperasian kekal secara penggiliran.

“Walau bagaimanapun, murid Prauniversiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia, murid kelas peperiksaan awam di sekolah berasrama sepenuhnya dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O- Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) kekal hadir tanpa penggiliran,” jelas KPM.

Mengulas lanjut KPM berkata, pihaknya akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

Tambahnya, KPM akan mengeluarkan senarai terkini institusi pendidikan bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu.

“Justeru, mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi tanpa penggiliran pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya.

“KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya.

Untuk rekod, KPM menyenaraikan sebanyak 289 institusi pendidikan di bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

Manakala, sebanyak 95 institusi pendidikan swasta (IPS) bawah KPM yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagi murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan