24.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, August 16, 2022

PM lancar Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia

Dana permulaan RM5 juta disediakan bagi membantu golongan mahasiswa yang memerlukan bantuan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia sebagai sebuah badan berperanan membantu golongan mahasiswa yang memerlukan.

Beliau berkata, sebagai permulaan kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta kepada yayasan tersebut, yang akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan sebagai tanda sokongan kerajaan bagi memastikan kelangsungan operasi serta matlamat penubuhannya tercapai.

“Badan ini akan berkolaborasi dengan kesemua saluran bantuan dan yayasan sedia ada di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa yang memerlukan bantuan.

“Sehubungan itu, saya mengingatkan kepada agensi dan pihak yang terlibat agar permudahkan dan percepatkanlah sebarang permohonan lengkap yang diterima daripada mahasiswa supaya bantuan dapat disalurkan segera kepada mereka,” katanya berucap pada majlis pelancaran yayasan tersebut secara maya di Facebook rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Baca juga:   Dr Kamarul Zaman mampu jalankan tugas pegawai khas - PM

Ismail Sabri menegaskan penubuhan yayasan itu menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa seperti terkandung dalam konsep Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Sehubungan dengan itu, saya berharap pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kebajikan mahasiswa menjadi lebih bersepadu dengan penglibatan semua pihak sekali gus menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia,”katanya.

Memperincikan mengenai Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata yayasan berstatus badan rasmi peringkat nasional itu ditubuhkan di bawah Akta 258 dan dikawal selia Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

Baca juga:   Klinik perubatan am swasta dibenar bekal vaksin

Beliau turut menyeru Majlis Perwakilan Pelajar dan mahasiswa supaya menjalankan tanggungjawab dalam memastikan tiada rakan mahasiswa mereka yang memerlukan tercicir daripada menerima bantuan.

“Sebagaimana dalam sebuah keluarga, setiap ahli yang susah, perlu dibantu bersama-sama dan nilai-nilai murni ini juga perlu diamalkan setiap mahasiswa. Amat mustahak bagi setiap mahasiswa melihat rakan-rakan sebagai sebuah keluarga besar yang saling memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum yayasan itu ditubuhkan, kerajaan memperkenalkan beberapa bantuan kepada mahasiswa sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19 antaranya Bantuan Pelan Data B40 melibatkan peruntukan RM24 juta dengan memberi manfaat kepada lebih 300,000 mahasiswa dan Bantuan Peranti B40 yang diberikan secara bersasar kepada hampir 9,000 mahasiswa menerusi peruntukan RM13 juta.

“Turut diberikan moratorium Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memanfaatkan 1.5 juta peminjam.

“Terkini, kerajaan menyalurkan Sumbangan e-Tunai kepada mahasiswa berumur antara 18 hingga 20 tahun menerusi Program e-Belia,” katanya dan menambah bahawa bantuan tersebut sebagai tanda kecaknaan kerajaan bagi meringankan beban aktiviti pengajaran dan pembelajaran warga kampus.

Baca juga:   PAU2021: PM puas hati perjalanan perhimpunan sayap

Menyifatkan mahasiswa sebagai entiti terpenting di sisi kerajaan dalam menentukan kepimpinan masa depan Keluarga Malaysia, beliau menyeru 1.2 juta golongan mahasiswa di negara ini agar menggenggam erat prinsip kebersamaan tanpa mengira agama dan bangsa.-Edisi 9

Terkini

Projek MARA Digital diteruskan – PM

PROJEK MARA Digital akan diteruskan bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi maklumat (IT). Perdana Menteri, Datuk...

Lagi Artikel Berkaitan