Sunday, July 19, 2026

Berhemah tangani isu pelajar sekolah, mereka masa depan negara

KPM disaran agar memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibu bapa, dan bekas pendidik.

Mesti Baca

SEMUA pihak diseru agar lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam menangani pelbagai isu membabitkan pelajar sekolah, susulan beberapa kejadian tidak diingini di institusi pendidikan kebelakangan ini.

Ketua Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor menegaskan,  reaksi keterlaluan dan tuding-menuding antara pihak tidak akan menyelesaikan masalah sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.

“Tidak guna kita menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Ada yang menyalahkan ibu bapa, ada yang menuding kepada sekolah, bahkan ada juga yang menyalahkan menteri.

“Apa yang penting ialah semua pihak perlu berganding bahu mencari punca dan jalan penyelesaian,” katanya ketika mengulas isu kebejatan moral pelajar yang semakin kerap berlaku.

Beliau yang juga Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar berkata, sikap masyarakat yang segera mencari kesalahan pihak lain hanya memburukkan keadaan, sedangkan isu melibatkan pelajar bawah umur memerlukan penyelesaian bersama dan pendekatan bersepadu.

MOHD ROSLAN MOHD NOR

Menurutnya, langkah proaktif Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan keselamatan serta memperkukuh disiplin di sekolah wajar disokong.

Namun, katanya, kementerian juga disaran agar memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibu bapa, dan bekas pendidik.

“Ada banyak pihak yang sedia membantu secara sukarela. Mereka boleh menyumbang melalui sokongan moral, penyediaan kemudahan, atau penglibatan dalam aktiviti pembangunan pelajar.

“Semua ini sebahagian daripada usaha kolektif untuk memastikan sekolah kekal menjadi tempat yang selamat dan beradab,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, Mohd Roslan menekankan bahawa aspek pendidikan berteraskan Islam perlu dijadikan tunjang dalam usaha membentuk pelajar berakhlak mulia.

Katanya, pendekatan pendidikan yang seimbang antara ilmu (ta‘alim), tarbiah (didikan) dan ta’dib (adab) adalah penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga beradab dalam pergaulan dan tindakan.

“Tidak guna bagi seseorang yang berpendidikan tinggi tetapi hilang adab. Kehilangan adab inilah yang menjadi punca pelbagai masalah sosial,” ujarnya.

Beliau turut memetik pandangan Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menekankan konsep ta’dib sebagai asas pendidikan sebenar bagi membentuk insan berakhlak.

Selain itu, katanya, pendidikan awal oleh ibu bapa perlu diperkasakan kerana ia memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak sejak kecil.

Mohd Roslan turut menegaskan bahawa peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau mana-mana pertubuhan setara perlu dilihat sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan, bukannya pencampur tangan terhadap urusan pentadbiran sekolah.

“PIBG boleh membantu dalam penyediaan fasiliti, memberi motivasi serta sokongan kepada aktiviti ko-kurikulum. Itu lebih bermakna dan efektif berbanding mengkritik dari luar,” katanya.

Menurutnya lagi, keprihatinan terhadap generasi muda amat penting kerana mereka merupakan nadi dan pelapis masa depan negara.

“Jika kita ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya hari ini,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa usaha membendung masalah sosial dan moral dalam kalangan pelajar bukan sekadar tanggungjawab sekolah, tetapi amanah bersama seluruh masyarakat.

“Merekalah yang akan mencorakkan masa depan negara. Maka, menangani isu ini dengan hikmah dan berhemah adalah pelaburan terbaik untuk generasi akan datang,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan