Sunday, July 19, 2026

Malaysia-Brazil bertekad perkukuh hubungan dua hala

Kedua-dua negara juga berhasrat memperluas dan memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, teknologi makanan, pendidikan dan budaya. - Anwar Ibrahim

Mesti Baca

MALAYSIA dan Brazil bertekad memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor merangkumi perdagangan dan pelaburan, tenaga serta pembangunan insan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga berhasrat memperluas dan memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, teknologi makanan, pendidikan dan budaya.

“Malaysia memiliki kepakaran dalam bidang semikonduktor yang boleh dikongsikan dengan Brazil manakala Brazil pula memiliki kelebihan dan pengalaman luas dalam bidang teknologi makanan.

“Kami turut membincangkan kemungkinan untuk meningkatkan import produk ternakan dari Brazil,” katanya pada sidang media bersama Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva selepas mesyuarat dua hala di Seri Perdana di Putrajaya hari ini, lapor Bernama.

Anwar berkata, Malaysia dan Brazil juga berpotensi menjadi rakan kongsi utama dalam memacu kerjasama yang lebih mendalam antara ASEAN dan rantau Amerika Selatan.

“Marilah kita pastikan kedua-dua negara dan rantau kita iaitu Amerika Latin dan ASEAN menjalinkan kerjasama erat, dan kita menjadi antara tonggak utama dalam memastikan hubungan ini melangkaui pelaburan perdagangan, politik dan budaya,” katanya.

Pada sidang media itu, Anwar turut memuji pendirian Lula da Silva dalam menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin serta pembunuhan beramai-ramai di Gaza, satu perjuangan yang amat dekat di hati rakyat Malaysia.

Beliau menyifatkan Presiden Brazil itu sebagai antara segelintir pemimpin dunia yang unggul dan berani bersuara menentang kekejaman tersebut.

Sementara itu, menerusi Facebook beliau, Perdana Menteri menegaskan, kunjungan Lula da Silva selain menepati tuntutan diplomatik dan protokol kenegaraan, ia berakar pada nilai bersama (shared values) iaitu, kemanusiaan, keadilan dan harapan untuk dunia yang lebih bermaruah.

“Lantas, Malaysia dan Brazil berjanji untuk berjalan sederap merapatkan Asia Tenggara dan Amerika Latin sebagai satu ketumbukan perjuangan menjelma kemakmuran dan kemuliaan insan,” katanya.

Lula kini berada di Malaysia bagi mengadakan lawatan rasmi dari 25 hingga 27 Oktober ini dan dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memulakan penggal baharu sebagai Presiden Brazil pada Januari 2023, dan juga lawatan pertama seorang Presiden Brazil ke Sidang Kemuncak ASEAN selepas negara itu menjadi rakan dialog sektoral blok berkenaan pada 2022.

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan