MALAYSIA akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sebagai langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau.
Beliau berkata demikian tatkala menerima kunjungan hormat Presiden FIFA, Gianni Infantino di Putarajaya, hari ini.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN.
“(Ini) termasuk melalui projek FIFA Arena yang bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara,” katanya hari ini.
Pada majlis itu, Anwar turut menerima sehelai jersi bernombor 10 daripada Infantino yang turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo.
Anwar berkata, beliau turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang merupakan satu langkah strategik membuka lembaran baharu ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global.
Bola sepak Malaysia kini menjadi tumpuan dunia setelah FIFA mengambil tindakan menggantung tujuh pemain warisannya kerana didakwa menggunakan dokumen palsu.
Manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula didenda sebanyak sebanyak CHF350,000 (RM1.85 juta) kerana melakukan pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC). — Edisi 9

