Tuesday, July 21, 2026

2.2 bilion panggilan meragukan disekat sejak 2022 – Fahmi

Dalam tempoh yang sama 2.2 SMS tidak diminta turut disekat serta menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan...

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan sejak tahun 2022, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama 2.2 khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak diminta turut disekat serta menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan selain mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan.

“Pada tahun 2024, purata kos ketirisan data di rantau ini dianggarkan melebihi USD3 juta (kira-kira RM12.7 juta), manakala kerugian akibat penipuan di Asia mencecah USD688.4 bilion (sekitar RM2.91 trilion), dengan seorang daripada dua rakyat berdepan penipuan setiap bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu Fahmi melancarkan Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber sempena Majlis Penutupan Inter-Agency Retreat on Cyber Crimes 2025 di Cyberjaya hari ini.

Hadir sama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Peguam Cara Negara, Datuk Suzana Atan dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Mengenai Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber, Fahmi berkata, ia merupakan inisiatif strategik antara MCMC dengan PDRM.

Katanya, kursus tersebut bertujuan mempertingkat keupayaan pegawai penguat kuasa dalam aspek penyiasatan, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes, serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kursus ini merupakan kesinambungan kepada Perjanjian Persefahaman yang telah ditandatangani pada 11 Mac 2024, yang menumpukan kepada pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan,” kata beliau.

Kerjasama antara MCMC dengan PDRM turut merangkumi Op Pedo 1 (Disember 2024), Op Pancing (September 2025) dan Op Pedo 2 (September 2025).

Beliau berkata, kursus yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan memberi fokus kepada modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa daripada agensi kerajaan, dengan penglibatan kepakaran pelbagai agensi keselamatan jenayah siber di peringkat nasional.

“Inisiatif ini diharap dapat membentuk barisan penguat kuasa yang bersepadu dan responsif terhadap ancaman siber di negara ini,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan