25.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

12 filem dalam 24 bulan, ini bukan ‘biasa-biasa’

Zebra Studio dan Tremendous Entertainment bekerjasama jayakan komitmen mengangkat kandungan tempatan untuk pasaran antarabangsa

Mesti Baca

MENGHASILKAN 12 buah filem dalam tempoh 24 bulan atau dengan kata lain sebuah filem untuk setiap dua bulan kelihatan terlalu idealis dan bukan ‘biasa-biasa.’

Lebih luar biasa, kesemua filem yang akan dihasilkan bukan sekadar untuk pasaran tempatan tetapi memastikan ia dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Namun, bagi Zebra Studio Sdn Bhd, perkara itu bukan mustahil dan itulah yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.

Pengasas dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi berkata, bagi merealisasikan komitmen itu, pihaknya telah bekerjasama dengan Tremendous Entertainment, yang sebelum ini sudah terkenal dalam penghasilkan kandungan hiburan pentas dan media di peringkat Asia Pasifik.

“Dengan usaha sama ini, kami berharap penghasilan 12 filem ini dapat membantu membina semula dan memudahkan pemulihan industri perfileman tempatan yang membolehkan kami bersama-sama mencipta lebih banyak kandungan global.

“Ia bertujuan untuk mendapatkan sorotan antarabangsa mengenai filem dialek khas seni dan budaya Malaysia serta memberi peluang kepada seniman tempatan kita untuk berjaya di peringkat global,” katanya baru-baru ini.

Sara berkata, kedua-dua pihak bakal menghasilkan lima filem Melayu dengan mengangkat latar dan budaya tempatan di sekitar Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor.

Selain itu, tambah beliau, empat filem Cina tempatan yang difokuskan penggambarannya di Perak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur turut berada dalam senarai.

“Akan ada tiga filem tempatan berbahasa Inggeris yang akan dihasilkan bersama dan difilemkan di negara jiran termasuk Korea, China, Indonesia, India dan lain-lain.

“Filem pertama dari 12 filem telah selesai dan penggambaran untuk filem kedua akan bermula pada bulan ini dengan penerbitannya bermula pada bulan depan,” katanya.

Diketuai oleh Pengarah terkenal, CL Hor yang telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat Asia Pasifik, Zebra Studio mempunyai ekosistem pengeluaran yang dilengkapi dengan teknologi terkini mulai dari kemudahan audio hingga pos dan VFX.

Bersinergi pula pasukan kreatif yang mahir dari Zebra Pixel yang diketuai oleh Penyelia VFX Hollywood, Jae Cheol Hong, Zebra Studio dan Pixel dapat memperkaya kandungan tempatan melalui penghasilan dan konseptualisasi kandungan inovatif di platform media tradisional dan baharu.

CL Hor berkata, ini adalah produksi bersama syarikat filem tempatan pertama yang berlaku selama lebih dari satu abad di industri filem Malaysia.

“Dengan inisiatif ini, kami ingin memberikan harapan dan sokongan kepada rakan-rakan industri kami semasa wabak ini merebak.

“Konsep saya adalah untuk membawa kandungan tempatan untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa dan menjadikan Malaysia tempat untuk menghasilkan kandungan antarabangsa,” jelasnya.

Pengerusi Tremendous Entertainment, Datuk Jared Lim pula berkata, hasil produksi ini diharap dapat mengembalikan industri perfileman tempatan yang telah dicabar oleh pandemik COVID-19.

“Diharapkan usaha kami mendorong industri filem dan produksi tempatan, tetapi juga akan memberi peluang untuk kandungan Malaysia dipersembahkan di peringkat antarabangsa,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Rumah terbuka: KPKM jamin bekalan makanan asas mencukupi

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas mencukupi sepanjang bulan Syawal ini. KPKM dalam kenyataannya...

Lagi Artikel Berkaitan