26.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 19, 2024

JAKIM sahkan ‘Mentega Terbang’ bertentangan akidah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan filem Mentega Terbang mengandungi unsur-unsur yang jelas bertentangan dengan akidah dan cara hidup umat Islam di Malaysia yang beraliran mazhab Shafie.

Sehubungan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, JAKIM akan memberikan ulasan terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan selanjutnya diambil.

Beliau berkaya, pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi terhadap apa juga kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian Islam, jelik dan mengundang kontroversi.

Menurutnya, beliau bimbang perkara seperti itu akan mengancam keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dalam isu penerbitan filem itu untuk pengurusan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau mengulas pelbagai pandangan dan reaksi masyarakat awam tentang kegusaran mereka berhubung penayangan filem tersebut.

Pada masa yang sama, Mohd Na’im juga menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih program untuk tontonan seisi keluarga agar tidak terdedah kepada unsur menjejaskan akidah Islamiah.

Advertisements

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua penggiat seni supaya berwaspada dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat,” katanya.

Filem Mentega Terbang mula ditayangkan melalui platform penstriman berbayar Viu pada 19 Januari lalu dengan skripnya ditulis bersama oleh Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Filem tersebut mengisahkan seorang remaja perempuan Islam bernama Aishah tertarik kepada agama yang mempercayai konsep kelahiran semula selepas kematian menjadi makhluk lain sebagai balasan.

Malahan terdapat babak yang menunjukkan bapa Aishah yang berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain, konon mencari jawapan.

Cereka berdurasi satu jam 44 minit itu tidak tertakluk kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ia hanya ditayangkan melalui secara atas talian dan bukan untuk tayang di pawagam atau televisyen.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

AP Terbuka: Mana-mana syarikat bumiputera boleh memohon

MANA-MANA syarikat bumiputera, termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif, boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan