30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MBM bimbang cukai tanpa kawal iklan vape, rokok elektronik

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) meluahkan kebimbangan sekiranya percukaian semata-mata dikenakan kepada rokok elektronik dan vape tanpa kawalan ketat akan menyebabkan produk berkenaan semakin berleluasa.

Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun berkata, kawalan ketat yang dimaksudkan adalah berkaitan pengiklanan dan promosi produk merokok.

Bagaimanapun menurut beliau, MBM pada dasarnya menyambut baik cadangan pihak kerajaan mengenakan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik dan vape.

“MBM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik cadangan pihak kerajaan bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada kementerian sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau lagi, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Belanjawan 2023 berkenaan sokongan kerajaan terhadap ikhtiar untuk menyokong Generasi Penamat atau Generational Endgame (GEG) adalah bertepatan untuk melindungi golongan generasi akan datang daripada terjebak dengan kegiatan buruk merokok khususnya produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik dan vape.

MBM bagaimanapun menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tertangguh sejak Oktober tahun lalu dibentangkan semula di Dewan Rakyat Mac ini.

“Rokok elektronik atau vape bukan jalan penyelesaian kepada masalah ketagihan rokok konvensional sebaliknya ia juga akan menyebabkan masalah kesihatan.

“Kebanyakan perokok dikenalpasti sebagai dwi pengguna di mana mereka merupakan pengguna rokok konvensional dan juga pengguna rokok elektronik atau vape,” katanya.

Ujar beliau lagi, program berbentuk advokasi seperti Road Show Gegar Belia Generational End Game yang dimeriahkan dengan perlawanan persahabatan badminton telah diadakan di peringkat negeri Selangor pada 28 Februari  sebagai tanda sokongan MBM kepada kempen GEG ini.

“Kempem dan Road Show ini akan menyusul di beberapa tempat seperti Wilayah Persekutuan, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Untuk rekod,  menurut kajian Adolescent Health Survey yang telah dijalankan oleh pihak KKM pada tahun 2017 dan 2022 menunjukkan peningkatan dalam peratusan penggunaan rokok elektronik yang semakin kritikal, di mana keseluruhan pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat kepada 14.9 peratus pada 2022 berbanding 9.8 peratus pada tahun 2017.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan kajian saintifik yang telah dikeluarkan mendapati bahawa cecair di dalam rokok eletronik membawa kemudaratan kepada kesihatan yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya EVALI (e-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury).

Ujar Hasnul, perkara berkenaan sangat membimbangkan memandangkan peningkatan yang ketara dalam jumlah pengguna rokok eletronik terutama dalam kalangan remaja.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan