SEORANG pekerja kilang kelapa sawit menjadi korban pertama banjir di Johor selepas Toyota Avanza dipandu dihanyutkan arus deras di Jalan GSA Chamek, Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa K Sarathkumar, 20-an ditemukan dalam kenderaannya itu kira-kira 12.20 tengah hari.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Kilang Kelapa Sawit Kekayaan, Paloh sebelum kenderaan dibawa arus banjir.
“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terdiri daripada anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dilancarkan.
“Pada kira-kira 12.20 tengah hari pasukan mencari menemukan Toyota Avanza yang ditenggelami banjir.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan menjumpai seorang lelaki dan didapati telah meninggal dunia,” katanya hari ini.
Ujar Bahrin, mayat dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat.
-EDISI9