Sunday, July 19, 2026

Banjir di Johor: Bantuan bersama agensi diselaras – Zahid

Setakat pagi ini hampir 900 orang telah dipindahkan ke 10 PPS membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Pontian.

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua bantuan agensi berkaitan diselaraskan bagi memastikan setiap keperluan mangsa banjir di Johor dapat dipenuhi segera.

Beliau berkata, setakat pagi ini hampir 900 orang telah dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Pontian.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, pihak berkuasa sedang memantau keadaan tersebut dengan rapi ekoran hujan lebat yang berterusan sejak semalam.

“Kerajaan komited untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan mengambil segala langkah perlu bagi menangani situasi ini dengan sebaiknya.

“Saya mendoakan agar semua yang terjejas diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Zahid turut menyeru agar semua pihak agar berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar keadaan segera pulih dan urusan bantuan dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, terdapat 893 mangsa daripada 257 keluarga yang terjejas dan telah dipindahkan ke PPS.

“Tiga daerah terbabit adalah Johor Bahru yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 567 orang, diikuti Kulai (269) dan Pontian (57).

“Tiga sungai dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu stesen Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dengan bacaan 20.85 meter (m), Sungai Skudai di Kampung Laut (4.24 m) dan Parit Keliling di Kampung Pasir 1.01 m,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan