KUTIPAN Wakaf MARA Madani telah berjaya mencecah RM51.6 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini hasil sumbangan daripada 1,845 penyumbang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Malahan Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, lebih membanggakan apabila seramai 1,114 orang telah tampil menyumbang pada hari pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mac lalu dengan jumlah kutipan RM201,168.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur melihat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan penyumbang individu dan korporat Bumiputera.
“Angka ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif ini sebagai pemacu perubahan ekonomi Bumiputera yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wakaf MARA Madani dicetuskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera tahun lalu sebagai satu inisiatif besar dalam memperkukuh kedudukan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera.
Zahid berkata, sebagai dana mauquf, sumbangan wakaf tunai tersebut perlu dikembangkan secara strategik bagi memastikan manfaatnya berterusan dan berimpak tinggi.
“Insya-Allah, agihan keuntungan daripada pengembangan wakaf ini dijangka bermula seawal Julai 2025,” katanya.
Dalam fasa awal pelaksanaan Wakaf MARA Madani, beliau berkata, manfaatnya akan disalurkan ke pelbagai sektor utama termasuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan serta pembangunan aset wakaf.
Tambah beliau, antara inisiatif utama adalah bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi, khususnya bagi sesi kemasukan Julai 2025.
“Sebagai Menteri yang diberi amanah, saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan menyokong inisiatif ini.
“Setiap ringgit yang diwakafkan bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menjadi pelaburan jangka panjang dalam memperkasa ekonomi Bumiputera,” katanya.
Zahid menyeru lebih ramai pihak khususnya individu, sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan dan seluruh masyarakat untuk menyertai gelombang kebaikan ini.
Katanya, semakin ramai yang berwakaf, semakin luas manfaat yang dapat kita sebarkan kepada umat dan negara.
“Dengan pengurusan yang telus, strategi yang jelas dan dukungan padu daripada semua pihak, saya yakin Wakaf MARA Madani akan menjadi pemacu kejayaan ekonomi Bumiputera yang lestari,inklusif, dan penuh keberkatan,” katanya. – Edisi 9

