INISIATIF sekolah bertingkat dengan kerjasama sektor korporat akan diperkenalkan bagi menangani masalah kepadatan sekolah di kawasan bandar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, inisiatif itu bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dan infrastruktur pendidikan, tetapi juga memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk murid dan guru.
“Pendidikan bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi asas pembentukan generasi yang berdaya saing, berilmu, dan berakhlak tinggi.
“Kerajaan beriltizam tegas untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan setiap murid mendapat akses kepada sistem pendidikan yang berkualiti, relevan dengan keperluan semasa, dan mampu membentuk mereka sebagai pemimpin masa depan,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Perkara tersebut antara intipati yang disentuh beliau semasa mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya. Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memastikan setiap kebijakan dan inisiatif pendidikan yang dilaksanakan membawa manfaat jangka panjang kepada negara.
Kata beliau, dengan reformasi pendidikan yang berani dan terarah, Malaysia akan mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia yang semakin kompetitif.
Perdana Menteri berkata, dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), sistem pendidikan negara perlu berkembang seiring dengan perubahan teknologi.
“Walhasil, pendidikan digital akan terus diperkasa bagi membolehkan murid memperoleh kemahiran teknologi yang diperlukan untuk masa depan,” kata beliau.
Manakala inisiatif seperti Sekolah Angkat dengan dukungan rakan strategik korporat akan diperluaskan bagi membuka lebih banyak peluang pembelajaran kepada murid, terutama dalam bidang kemahiran digital dan daya cipta.
Kata Anwar, peningkatan kemasukan dalam lapangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi fokus utama.
Langkah itu, jelas beliau, penting bagi memastikan tenaga kerja negara sentiasa relevan dengan keperluan industri, di samping menjamin kebolehpasaran graduan yang lebih tinggi.
“Kerajaan juga bersungguh untuk memperluas program TVET ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam pelbagai sektor strategik,” katanya. – Edisi 9

