32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pemergian Zaman Khan kehilangan besar buat negara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pemergian bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan kira-kira pukul 10.15 pagi ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pemergian Zaman Khan, 80, Keluarga Malaysia kehilangan tokoh perkhidmatan keselamatan yang disegani

“Allahyarham sangat tegas dan komited dalam memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perkhidmatannya.

“Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” ucap Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemergian Zaman Khan satu kehilangan besar buat negara jika mengambil kira sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan Allahyarham dalam memastikan ketenteraman awam sentiasa terjaga sepanjang perkhidmatan.

“Semoga seluruh keluarga Allahyarham tabah melalui detik menyedihkan ini. Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kongsinya dalam Facebook hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalannya, Datuk Seri Mazlan Lazim serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan yang meninggal dunia hari ini.

PDRM dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, Allahyarham pernah mencurahkan bakti terakhir dalam PDRM sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada tahun 1989 sehingga 1993 sebelum ditukarkan ke Jabatan Penjara Malaysia sebagai Ketua Pengarah.

“Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Bukit Aman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada petang ini.

“Didoakan agar roh Allahyarham Tan Sri Zaman Khan dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi tadi.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke IJN kerana mempunyai masalah tekanan darah dan jangkitan kuman.

Semasa memegang jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman pada 1993, Allahyarham terbabit kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu dikenali sebagai Bentong Kali.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari tahun 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada tahun 1997. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan