27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tapislah internet, Netflix… Masyarakat kita makin parah

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

SEMALAM, kita dikejutkan dengan dua kejadian rogol membabitkan mangsa dalam kalangan remaja dan pelakunya mempunyai kaitan kekeluargaan.

Kes pertama membabitkan seorang remaja berusia 14 tahun yang menjadi hamba nafsu serakah abang kandungnya sendiri yang baharu berusia 18 tahun.

Remaja terbabit terpaksa menyerahkan kehormatannya kepada darah dagingnya sendiri sejak Januari tahun lalu sehingga hamil.

Jika tidak kerana ‘sakit perut’ yang dialami, akhirnya didapati dia mahu bersalin, sudah tentu perbuatan terkutuk abangnya sendiri itu tidak diketahui.

Kejadian kedua lebih dahsyat. Remaja berusia 17 tahun bukan sahaja menjadi mangsa rogol abang iparnya sendiri, malah nyawanya juga diragut oleh lelaki bersifat binatang itu.

Pelaku, seorang dewasa sanggup memperkosa adik iparnya sendiri dan mencekik leher mangsa sehingga meninggal dunia.

Kejadian itu diketahui selepas mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan sudah meninggal dunia. Ketika bedah siasat dibuat, ternyata mangsa dirogol dan dibunuh.

Kedua-dua kejadian itu sebetulnya menggambarkan keadaan masyarakat kita yang sedang sakit, sakit yang amat parah apatah lagi ketika dunia dilanda wabak COVID-19.

Sudah tentu banyak lagi kes-kes sedemikian berlaku sepanjang tahun ini, tetapi dua kejadian terbaharu menunjukkan kita perlu berbuat sesuatu untuk merawat sakit masyarakat kita.

Bagaimana seorang remaja berusia 18 tahun sanggup menjadikan adiknya sendiri sebagai pemuas nafsu seksnya.

Seorang abang yang sepatutnya menjadi keselamatan dan penghormatan si adik tetapi dia sendiri yang merosakkannya. Siapa yang perlu dipersalah?

Diri mereka sendiri, ibu bapa, masyarakat atau mungkin perlu menyalahkan teknologi maklumat hari ini yang tidak ada lagi batasan atau tapisan bahan-bahan lucah yang cenderung menjadi pendorong kepada kejadian jenayah seks seperti ini.

Penulis bukan mahu menyalahkan internet atau rangkaian streaming seperti Netflix yang kini terus masuk ke dalam rumah tanpa tapisan.

Tetapi sesuatu perlu dilakukan oleh pihak yang berkewajipan untuk memastikan kita tidak menambahkan lagi racun dalam masyarakat kita yang sudah sakit.

Kita tidak boleh terlalu menjaga hati sebahagian daripada masyarakat yang mahukan kebebasan dan keterbukaan sedangkan sebahagian lagi gagal untuk mengawal diri, sehingga terpengaruh dengan apa yang ditonton menerusi internet.

Apatah lagi semua itu dapat dilihat di telapak tangan, dengan telefon pintar yang paling minimum spesifikasinya.

Justeru, penulis berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan seorang pemimpin yang prihatin dengan masyarakat, dapat melihat isu penapisan kandungan dalam internet dan Netflix ini.

Seingat penulis, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pernah menyuarakan pandangan agar kerajaan menapis kandungan Netflix tetapi kemudian sepi begitu sahaja setelah mendapat kecaman sebahagian kecil masyarakat, terutama anak-anak muda.

Bagi golongan ini, mereka mahu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menapis sendiri kandungan. Tapi persoalannya, apakah mereka benar-benar bersedia menapisnya?

Di depan umum mungkin ya, tetapi jika bersendirian di dalam bilik atau lain-lain tempat yang jauh daripada pandangan orang, apakah mungkin mereka tidak terjebak dengan kandungan tidak sihat ini?

Apatah lagi bagi remaja yang sifat ingin tahu yang bergejolak dengan nafsu yang membuak-buak, sudah tentu mereka akan menggunakan kandungan tidak bertapis ini sebagai bahan bagi mereka melepaskan hawa nafsu yang akhirnya menjadi satu ketagihan.

Kemuncaknya mereka akan mencari mangsa untuk dijadikan pemuas nafsu dan yang paling mudah serta paling dekat adalah kalangan ahli keluarga sendiri.

Benar, ketika zaman belum ada internet juga sudah ada kes-kes rogol dan sumbang mahram seperti ini.

Seperti penulis katakan, kita bukan mahu salahkan internet dan kandungan tidak bertapisnya semata-mata.

Namun, sekurang-kurangnya dengan berbuat demikian kuranglah sedikit mudaratnya kepada masyarakat. Kalau tidak banyak, sedikit.

Lebih penting jangan sampai nanti masyarakat kita yang dipersalah, apatah lagi jika dilihat dari sudut pandang agama. Semua ini dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti.

Jadi, jangan kata penulis tak pernah tegur. Sekurang-kurang kalau tidak boleh melalui perbuatan, cukup dengan perkataan.

BAPA PRIHATIN
Alor Setar, Kedah

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan