INSTITUSI pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka mula beroperasi hari ini. berdasarkan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 18 Oktober lalu.
Ia membabitkan kemasukan bagi murid tahap 1 (tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah, serta murid tingkatan 3 dan 4 sekolah menengah.
Kehadiran murid tahap 2 (tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, tingkatan 1 dan tingkatan 2 sekolah menengah bagi negeri Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya akan bermula pada 8 November.
Institusi pendidikan di bawah KPM ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah kementerian bagi kategori sekolah dan kategori pusat.
Sesi persekolahan akan dijalankan dengan kapasiti 50 peratus murid secara penggiliran mingguan bagi pembelajaran bersemuka.
KPM sebelum ini menetapkan jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut. – Edisi 9