Tuesday, July 21, 2026

Usah bergantung dunia hiburan, ceburi perniagaan – Khaty

Bila nama tidak lagi disebut, tawaran kerja semakin berkurang, dan akhirnya mereka hilang punca pendapatan.

Mesti Baca

PENYANYI legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim menyeru selebriti muda tidak terlalu bergantung kepada dunia hiburan semata-mata, sebaliknya segera merebut peluang dalam bidang keusahawanan ketika populariti masih berada di puncak.

Beliau berkata, industri hiburan adalah dunia yang sangat dinamik serta tidak menjamin kelangsungan kerjaya dalam jangka masa panjang.

“Saya sendiri telah melihat ramai rakan-rakan artis yang kecundang selepas tidak lagi aktif di pentas hiburan. 

“Bila nama tidak lagi disebut, tawaran kerja semakin berkurang, dan akhirnya mereka hilang punca pendapatan,” katanya baru-baru imi.

Mesra disapa Ibu Khaty, penyanyi yang terkenal pada era 80-an dan 90-an iru menasihati selebriti agar membina asas perniagaan dengan ilmu dan kefahaman, bukan sekadar menjadi wajah kepada produk.

“Jangan hanya jadi duta. Turun padang, ambil tahu tentang pemasaran, pengurusan, pengeluaran. Kalau kita sendiri tak faham, orang lain mudah ambil kesempatan,” tegas beliau.

Khadijah yang mesra disapa Ibu Khaty turut berkongsi pengalamannya beralih ke dunia perniagaan melalui penubuhan syarikat makanan, termasuk jenama Sos Cili Ibu yang kini semakin dikenali di pasaran tempatan dan luar negara.

“Saya mulakan dengan produk yang saya suka dan saya faham — makanan. Rakyat Malaysia sukakan pedas, jadi saya hasilkan sos cili asli, buatan tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Sos Cili Ibu turut dipromosikan di Malaysia Fest 2025 di Singapore Expo dari 31 Julai hingga 3 Ogos lalu. 

Kehadiran Khadijah disambut meriah, diiringi penyertaan selebriti lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ifa Raziah, Zaiton Sameon, dan Jasmin Hamid.

“Ramai datang bukan sekadar beli sos, tapi nak bergambar dan kongsi memori zaman kegemilangan muzik saya. Ia pengalaman yang cukup manis,” ujar beliau.

Khadijah berharap usaha tersebut menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai selebriti muda untuk mula membina empayar perniagaan masing-masing sejak awal lagi. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan