PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tetap bertegas terhadap penghutang agensi itu biar pun ada yang mempersoalkannya.
Menurut beliau, tindakan keras tersebut dilakukan bukan untuk kepentingan dirinya tetapi demi memastikan MARA terus berdaya maju untuk membantu orang Melayu.
“Ada terima mesej persoal kenapa saya keras sangat kepada penghutang MARA, tiga bulan tak bayar dapat notis, kata nak tolong Melayu.
“Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar. Ramai lagi anak bangsa perlu dibantu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Asyraf Wajdi sebelum ini menegaskan, MARA komited untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap peminjam yang gagal melunaskan hutang daripada agensi itu.
Beliau berkata, dengan mengambil tindakan tegas menerusi program berterusan, kadar bayaran balik pinjaman sama ada untuk tujuan pendidikan, perniagaan dan sewa premis kini kian menunjukkan peningkatan.
Antara penghutang MARA yang dituntut bayaran balik melibatkan pelakon dan selebriti terkenal, Rozita Che Wan yang dilapor berhutang hampir RM1 juta dengan agensi itu.
Sementara itu hampir semua warganet yang mengikuti media sosial Asyraf Wajdi menyokong tindakan tegas MARA terhadap penghutang agensi itu.
Salah seorangnnya, Nor Shazwani Shamshudin berkata, para peminjam MARA seolah-olah ‘naik kepala’ ekoran terlalu lama dibiarkan.
“Setuju. Dah lama dibiarkan. Bila nak kuat kuasa undang-undang kata kejam pula. Maklumlah dah selesa.
“Lepas tu buat- buat hairan kenapa MARA tak boleh bagi ‘loan’ (pinjam) macam dulu,” katanya.
Kamarul Md Shah pula berkata, konsepnya cukup mudah kerana namanya adalah pinjam dan ia mestilah dibayar.
“Duit yg dipinjam tu pun duit rakyat. Biarlah duit tu berpusing kpd peminjam seterusnya. Rundinglah kadar bayaran yg sesuai.
“Penjamin dah mempertaruhkan kewangannya untuk jamin peminjam. Tak wajar disusahkan penjamin pula. Kena ada sikap yg betul di sini,” katanya. — Edisi 9

