AURA seorang legenda tak pernah pudar. Itulah yang dibuktikan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, apabila berjaya mencuri perhatian lebih 100 peminatnya di Singapura dalam satu majlis ramah mesra tertutup yang cukup eksklusif dan meriah di D’Banquet Hall, Al Juned Link, semalam.
Bukan sekadar beramah mesra, Khadijah yang mesra disapa ‘Ibu’ turut mengambil peluang melancarkan produk terbaharu di bawah jenamanya, Sos Cili Ibu, yang kini secara rasmi boleh didapati di Yisun Halal Mart, Singapura.
“Resipi sos ni saya cipta sendiri, ilham daripada citarasa pedas yang saya suka. Tapi saya nak lebih daripada sekadar pedas. Saya nak rasa nostalgia, rasa masakan ibu-ibu dulu yang kita rindu,” kata pelantun lagu malasegar popular Ku Pendam Sebuah Duka ini.
Majlis tersebut bukan hanya jadi kenangan indah buat peminat, tetapi turut menandakan permulaan serius Khadijah’s Kitchen untuk menembusi pasaran luar negara dengan membawa warisan rasa Melayu ke pentas antarabangsa.
Para hadirin turut diberi peluang merasai keenakan Sos Cili Ibu yang dikatakan sesuai dengan pelbagai jenis makanan, dari nasi goreng, mi goreng, ayam panggang, hingga ke keropok lekor dan kentang goreng.
Melihat kepada sambutan hangat yang diterima, tidak mustahil Sos Cili Ibu akan menjadi satu lagi produk makanan tempatan yang menembusi pasaran global. – Edisi 9

