Wednesday, July 22, 2026

APAD bukan punca bas Smart Selangor di MBSJ tertangguh

Kelewatan sebenarnya berpunca daripada pihak pengendali yang hanya mengemukakan permohonan kepada APAD pada 25 dan 26 April lalu.

Mesti Baca

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menjadi punca penangguhan perkhidmatan bas Smart Selangor di lima laluan dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Lima laluan yang terjejas ialah SJ01, SJ02, SJ03, SJ04 dan SJ05, yang dilaporkan menyebabkan kesulitan kepada penduduk Subang Jaya untuk menjalankan urusan harian apabila terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif yang lebih mahal.

Dalam satu kenyataan hari ini, APAD menjelaskan bahawa kelewatan sebenarnya berpunca daripada pihak pengendali iaitu Syarikat SKS Coachbuilders Sdn. Bhd. yang hanya mengemukakan permohonan kepada APAD pada 25 dan 26 April lalu.

“Sebanyak lima permohonan telah diterima dan semuanya telah diproses mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta syarat kelulusan yang ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Permohonan-permohonan itu telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan (eJKP) pada 8 Mei lalu dan diberikan kelulusan bersyarat selepas didapati terdapat beberapa ketidakpatuhan oleh pihak pemohon, termasuk kegagalan memasang sistem Global Positioning System (GPS) serta Surat Tawaran Kelulusan (STK) yang belum dilesenkan.

Bagaimanapun, menurut APAD, pemohon telah mengemukakan maklum balas lengkap pada 15 Mei dan permohonan diluluskan sepenuhnya dalam Mesyuarat eJKP pada 22 Mei.

“Pihak SKS Coachbuilders kini boleh mencetak STK mereka melalui Sistem iSPKP APAD bermula 23 Mei 2025,” kata kenyataan itu lagi.

APAD turut menegaskan bahawa semua syarikat pengendali pengangkutan awam dan barangan perlu mematuhi semua syarat dan keperluan yang ditetapkan bagi mengelak penolakan permohonan serta memberi kesan kepada pengguna.

“Sebagai agensi kawal selia sektor pengangkutan awam darat, APAD kekal komited untuk menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan pelesenan secara adil dan telus, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, penduduk Subang Jaya mengharapkan perkhidmatan bas berkenaan dapat disambung semula segera bagi meringankan beban kos pengangkutan harian mereka. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan