UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah memperkukuh agenda pendidikan serantau dan kelestarian alam menerusi penganjuran Program Mobiliti Antarabangsa anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN) di Medan, Indonesia.
Program selama lima hari yang berlangsung dari 15 hingga 19 Mei lalu itu disertai seramai enam pensyarah dan 12 mahasiswa FKTEN dalam misi yang merangkumi elemen akademik, khidmat komuniti, dan pemeliharaan alam sekitar.
Antara pengisian utama ialah lawatan akademik rasmi ke dua buah institusi pengajian tinggi terkemuka di Sumatera Utara iaitu Universitas Harapan (UNHAR) dan Universitas Al-Azhar Medan (UNAZ).
Dekan FKTEN merangkap Ketua Program, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Razaidi Husin berkata, program ini bukan sekadar menyampaikan ilmu dan teknologi, malah turut menanam nilai empati serta semangat ASEAN dalam kalangan mahasiswa.
“Program ini menggabungkan aspek pendidikan, teknologi TVET, pertukaran budaya dan khidmat komuniti sebagai sokongan kepada agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

“Kita juga membina jalinan hati dengan komuniti, seiring dengan aspirasi ASEAN untuk mewujudkan masyarakat inklusif, harmoni dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, delegasi UniMAP disambut mesra oleh pihak pengurusan kedua-dua universiti yang menyifatkan kunjungan tersebut sebagai satu platform penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan penyelidikan rentas sempadan.
Sementara itu, Ketua Pelajar yang juga wakil Persatuan Pelajar FKTEN, Mohd Farhan berkata, pengalaman tersebut menjadi pendedahan yang amat bermakna bukan sahaja dari sudut kejuruteraan, malah turut menyemai kesedaran sosial dan peranan jurutera kepada masyarakat.
“Kami belajar menjadi jurutera yang bukan sahaja cekap dari segi teknologi, tetapi juga prihatin terhadap masyarakat dan alam sekitar,” ujarnya.
Dalam usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), satu aktiviti penanaman pokok bakau turut dilaksanakan di Desa Pasar Rawa dengan kerjasama mahasiswa UNAZ sebagai inisiatif pemuliharaan alam sekitar.
Ketua Projek Jelajah Komuniti dan Pendidikan FKTEN, Profesor Madya Ir. Muzammil Jusoh berkata, langkah itu bukan sahaja membantu mengelakkan hakisan pantai, malah mampu memperkaya biodiversiti serta memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
Program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan UniMAP dalam melahirkan graduan global berteraskan nilai serantau, selaras dengan Wawasan ASEAN 2025 ke arah membina komuniti yang aman, makmur dan berpadu. – Edisi 9

