MALAYSIA mencatat satu lagi sejarah dalam pembangunan teknologi hijau apabila Synergy ESCO, anak syarikat tempatan milik Unity Group Holdings International Ltd. yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong, melancarkan ESG Light pertama di dunia yang diperakui kelayakan kredit karbon.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Persidangan Ekosistem Kredit Karbon dan ESG 2025 itu menyaksikan pelancaran rasmi teknologi pencahayaan cekap tenaga yang diyakini bakal merevolusikan sektor tenaga mampan serta pasaran karbon negara.
Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group, Mansfield Wong, ESG Light bukan sekadar lampu penjimatan tenaga, tetapi kini merupakan instrumen kewangan berasaskan impak sebenar dalam pengurangan karbon.
“Dengan penggunaan hanya 4.5 watt serta jangka hayat sehingga 180,000 jam, ESG Light mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 89 peratus, seterusnya memberi peluang kepada syarikat menjana kredit karbon melalui pengurangan pelepasan yang boleh disahkan,” katanya hari ini.
Dalam usaha memperkukuh kerangka penyelidikan, Unity turut mengumumkan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kelestarian Unity-UPM yang bertujuan mempercepat inovasi dalam teknologi pengurangan karbon serta amalan lestari, termasuk dalam sektor pertanian.
Menariknya, ESG Light juga akan digunakan dalam sistem pertanian digital pintar melalui kerjasama dengan Shine Plus Group Sdn. Bhd., dengan jangkaan pengurangan tenaga sehingga 70 peratus dan peningkatan hasil tanaman sehingga 10 kali ganda.
Unity menyasarkan pengurangan sebanyak 25 juta tan karbon dioksida (CO₂) di Malaysia menerusi pelaksanaan ESG Light secara meluas serta inisiatif komuniti Green One Day yang merangkumi lebih 6,000 hartanah strata di seluruh Selangor. Usaha ini turut menyokong Inisiatif Hijau Kerajaan Negeri Selangor.
Kesemua panel menekankan keperluan mempercepat penggunaan teknologi hijau secara besar-besaran, seiring dengan sasaran pengurangan karbon negara dan pembangunan mampan.
Dalam pada itu, Unity turut merancang penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia, dalam usaha meningkatkan kecairan saham, menambah bilangan pelabur dan mengukuhkan penilaian pasaran, sekali gus menyokong pengembangan operasinya dalam bidang pengurusan tenaga di Malaysia.
Pelancaran ESG Light dan kerjasama penyelidikan yang dijalankan meletakkan Malaysia di landasan strategik untuk menjadi antara pemain utama dalam pasaran karbon serantau dan global, selaras dengan aspirasi negara mencapai sifar bersih menjelang 2050. – Edisi 9

