27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

JKN Kedah siasat pesakit COVID-19 mati di lantai wad

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah akan menjalankan siasatan lebih mendalam membabitkan pesakit yang jatuh dan meninggal dunia dalam wad yang videonya tular sejak semalam.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, pihaknya telah membuat siasatan segera berhubung video berkenaan membabitkan dakwaan pesakit berkenaan lewat mendapat bantuan petugas hospital.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal pada hari kejadian, pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan pakaian PPE (doffing) sekitar pukul 1.45 tengah hari setelah selesai membuat rondaan wad pagi.

“Kira-kira pukul 2.25 petang, petugas wad diberitahu oleh pesakit lain, seorang pesakit telah jatuh dari katil. Pegawai perubatan bertugas bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang didapati terbaring di lantai wad.

“Pemakaian PPE ini telah mengambil masa kira-kira lima minit dan ketika itu pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Othman berkata, pesakit telah dinaikkan ke katil semula dan disahkan meninggal dunia dengan punca kematian adalah Severe COVID-19 Pneumonia.

“Pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada petang yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian.

“Ahli keluarga sememangnya telah maklum dengan keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital.

Menurutnya, JKN Kedah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan kesal atas penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Kita mohon agar masyarakat umum menghormati ahli keluarga mendiang dan menghentikan penularan video tersebut.

Advertisements

Sementara itu, Dr Othman menyatakan pesakit adalah seorang warga emas yang telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada 26 Ogos lalu setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 daerah Kuala Muda.

“Pesakit mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan mendapat COVID-19 Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen.

“Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yangsemakin tinggi,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, pesakit kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan dan dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi.

Semalam, video berdurasi 37 saat memaparkan pesakit lelaki berusia 60-an terjatuh di lantai sebelum meninggal dunia tular dalam media sosial kerana didakwa berlaku akibat kecuaian doktor dan jururawat.

Video dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) itu menunjukkan pesakit terbabit yang tidak berbaju dan hanya berkain berjalan dalam keadaan lemah sebelum dia terjatuh.

Pemilik akaun FB berkenaan yang tidak diketahui sama ada mempunyai ikatan keluarga atau sebaliknya meninggalkan hantaran yang mendakwa pihak hospital bersikap sambil lewa tanpa memberikan bantuan kepada mangsa.

Antara kandungan petikan yang ditulis pemilik FB terbabit mendakwa walaupun sudah hampir setengah jam mangsa jatuh, namun doktor dan jururawat bertugas tidak peduli dan gagal mengambil tindakan serta merta.

Malah, pemilik akaun FB itu dalam tulisannya juga mendakwa apabila pesakit lain melaporkan kejadian itu kepada jururawat, mereka pula disuruh petugas kesihatan melakukan pemeriksaan terhadap pesakit yang jatuh berkenaan sama ada masih bernyawa atau tidak.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan