POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan video tular memaparkan beberapa individu menari sambil mendengar muzik di sebuah hangar dengan tulisan PDRM adalah program Rock The World 2023.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, program berkenaan dianjurkan pada 16 Disember lalu.
Beliau berkata, premis yang dijadikan lokasi program itu adalah pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Kuala Lumpur yang sudah ditutup.
“Pada jam 3.30 petang semalam (Ahad), pihak polis mengesan satu klip video berdurasi 16 saat dimuat naik di aplikasi Twitter memaparkan beberapa individu menari sambil mendengar muzik.
“Polis ada menerima makluman berhubung penganjuran itu dan lesen dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, premis terbabit sudah lama ditinggalkan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas berhubung video tular berkenaan.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 0322979222 atau pergi ke mana-mana balai berhampiran,” katanya. -Edisi 9