26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

FOMCA persoal tindakan DBKL sewakan parkir secara joki

Mesti Baca

TINDAKAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyewakan tapak parkir kepada syarikat persendirian atau memberi lesen untuk parkir secara joki di kawasan pentadbirannya dianggap tidak wajar.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin ketika membangkitkan isu berkenaan turut mempersoalkan justifikasi langkah DBKL itu.

“Tempat itu adalah tempat awam. Ianya kegunaan bersama. Apakah manfaat kepada pengguna dengan kewujudan joki ini sebenarnya? Sepatutnya selepas waktu bekerja parkir itu boleh digunakan percuma.

“Joki parkir ini juga tidak memudahkan pengguna. Konsepnya sama sahaja dengan ulat parkir, berlagak mereka seperti samseng jalanan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kelmarin, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan ada lapan petak parkir di kawasan tepi lorong off Jalan Sultan Ismail disewa kepada syarikat persendirian untuk perkhidmatan joki selepas waktu pejabat.

Tempat letak kereta itu adalah petak parkir di bawah kawalan DBKL dan dikenakan bayaran parkir. Bayaran dikenakan pada waktu pejabat iaitu hingga jam 5 petang.

Bagi memastikan orang awam maklum mengenai perkhidmatan joki berkenaan, DBKL sudah mengarahkan operator joki meletakkan papan tanda makluman operasi di tapak berkenaan dengan segera.

Nur Asyikin turut minta DBKL membuat pemantauan bagi memastikan joki terbabit mempunyai lesen daripada DBKL.

“Jika ada lesen, mereka perlu ada papan tanda menyatakan harga tiket parkir yang perlu dibayar selepas waktu bekerja serta disahkan oleh DBKL supaya pengguna boleh membuat keputusan dengan sewajarnya,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata tindakan DBKL menyewakan parkir kepada syarikat persendirian boleh mengelirukan pengguna.

“Siapa sebenarnya yang menguruskan kawasan parkir terbabit? Seperti ada dua pihak pengurusan pula. Sepatutnya DBKL memberikan orang ramai parkir percuma selepas waktu bekerja.

“Kekerapan penggunaan parkir pada waktu malam tidaklah sesibuk waktu siang. Apabila ada majlis, program keraian dan jualan musim perayaan sahaja membuatkan kawasan parkir menjadi tumpuan pada waktu malam,” katanya.

Azlin berkata joki sebenarnya mengenakan caj parkir yang boleh dikatakan agak tinggi.

Katanya, jika ada pengunjung yang cuma parkir dalam tempoh sejam atau dua jam, ianya tidak berbaloi terutama kepada golongan kebanyakan.

“Mungkin kelebihan joki ini adalah kepada golongan berada yang kebiasaannya menggunakan kereta berjenama mahal.

“Langkah yang patut diambil oleh DBKL berkenaan dengan harga parkir ini biarlah seragam dan masuk akal kepada syarikat persendirian.

“Tidak terlalu mahal dan mampu untuk semua golongan dan memudahkan penggunjung. DBKL sendiri boleh mengenakan bayaran sekali masuk RM2 sehingga RM5 kepada pengunjung selepas waktu pejabat,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan