PENYANYI Azharina Azhar bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang sengaja menyebarkan video persembahannya sedang ‘busking’ La Bamba sekiranya berniat hendak menjatuhkan reputasinya sebagai penyanyi.
Azharina, 38, berkata, dia sudah berbincang dengan dua peguamnya mengenai video yang sengaja di viralkan itu.
“Saya sudah berbincang dengan peguam mengenai perkara ini. Semua bukti sudah saya kumpul termasuklah komen-komen yang diberikan oleh warganet.
“Andai si penyebar meneruskan lagi perkara ini saya tidak akan berdiam diri dan takkan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas konsert separuh akhir All Stars Gegar Vaganza (GV10), malam tadi.
Mengulas lanjut, Azharina berkata, video itu tersebar selepas dia didakwa menipu Ketua Juri GV10, Datuk Ramli MS (Tok Ram) mengenai isu tidak pernah menyanyikan lagu La Bamba.
Penyanyi berasal dari Sabah itu berkali-kali menegaskan tiada niat untuk berbohong kerana sememangnya langsung tidak ingat mengenai persembahan busking yang pernah dilakukannya.
“Kalau anda berada di posisi saya, disoal bertubi-tubi, bolehkah ingat semula memori itu? Pasti tidak.
“Sejujurnya saya memang tidak ingat perkara itu pernah berlaku. Saya disoal adakah pernah menyanyikan lagu La Bamba dalam majlis makan malam. Jawapannya memang tidak pernah,” katanya.
Pelantun lagu Elegi Sepi itu menegaskan, nyanyiannya pada persembahan busking itu juga tidak sempurna dan huru-hara.
“Jujur saya beritahu, memang saya tidak boleh ingat, persembahan pula secara spontan. Nyanyian pun huru-hara, di tepi jalan pula.
“Persembahan busking itu berlaku sekitar tujuh tahun lalu di ibu negara dan saya diminta untuk menyanyi lagu La Bamba secara spontan dan hasilnya memang tunggang-langgang.
“Bolehkah anda ingat apabila sudah melakukan banyak persembahan ditambah pula perlu menelan ubat sebanyak 32 biji sehari,” katanya lagi.
Minggu lalu, nama Azharina menjadi perbualan hangat selepas muncul sebuah video dia menyanyikan lagu La Bamba milik Los Lobos secara busking di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Video berkenaan tular dan ada pihak mendakwa dia menipu Ramli MS kerana menyatakan tidak pernah menyanyikan lagu berkenaan dalam mana-mana persembahan sebelum ini.
Pertanyaan itu diajukan oleh Ramli selepas persembahannya pada konsert suku akhir GV10 minggu lalu namun dinafikan oleh Azharina. -Edisi 9