30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tiga negeri beralih ke Fasa 3 PPN mulai Rabu – Muhyiddin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan tiga negeri akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas menunjukkan prestasi amat baik dalam program vaksinasi dan pengawala Covid-19.

Menurut Perdana Menteri, tiga negeri tersebut ialah Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

“Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara secara maya hari ini. – Sumber: Facebook

Untuk rekod, Labuan dan Sarawak merupakan dua negeri yang merekodkan vaksinasi tertinggi dalam kalangan penduduk dewasa yang menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, Labuan merekodkan 95.1 peratus dos pertama dan 81.5 peratus dos kedua menjadikan negeri pertama mencapai komuniti kelompok.

Manakala Sarawak pula mencatat jumlah suntikan vaksin sebanyak 84.6 peratus bagi dos pertama dan 65.7 dos kedua manakala jumlah kes harian pula menunjukkan kadar penurunan.

Bagi Perlis, walaupun kadar vaksinasi penduduk dewasa pada kadar 62.2 peratus (dos pertama) dan 42.7 peratus (dos kedua) namun kes harian Covid-19 di negeri itu di bawah 10 kes sehari.

Berdasarkan laman web PPN, di bawah Fasa 3 semua pelajar boleh ke sekolah, bersukan dalaman tanpa kontak, boleh menjamu di tempat makan dan menerima tetamu di rumah tidak lebih daripada 10 orang.

Bagi sektor perniagaan, kebanyak perniagaan runcit boleh beroperasi namun perniagaan risiko tinggi masih tidak dibenarkan.

Selain itu, institusi pendidikan dibuka untuk aktiviti bersemuka manakala pusat jagaan kanak-kanak boleh beroperasi.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan juga sedang memperincikan kemudahan-kemudahan yang akan dibenarkan kepada individu yang telah melengkapkan dos kedua suntikan vaksin COVID-19 termasuk kemudahan dalam sektor ekonomi.

“Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya-Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat,” katanya.

Pada mesyuarat berkenaan juga, Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN.

Muhyiddin berkata, beliau juga ingin tekankan bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar. 

“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan