PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam suasana yang disifatkan sebagai amat terbuka, jujur dan mencerminkan nilai keterbukaan serta kebijaksanaan demokrasi Perancis.
Menurut Anwar, perbincangan tersebut membawa semangat yang menjadi asas penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis serta dalam menangani cabaran global secara berprinsip.
“Kerjasama strategik kedua-dua negara berkembang pesat merentas pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk teknologi aeroangkasa menerusi Airbus, tenaga bersih antara Petronas dan syarikat-syarikat Perancis, selain bidang pendidikan tinggi, kecerdasan buatan serta pertukaran pelajar,” katanya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.
Anwar turut menyatakan sokongan terhadap usaha Macron dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan dunia, khususnya ketegasan beliau dalam mendesak rejim Israel menghentikan keganasan di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera.
“Malaysia kekal konsisten menolak segala bentuk keganasan terhadap orang awam dan menentang sebarang pilih kasih,” tegas Anwar.

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh gagasan nilai bersama seperti yang digariskan dalam ucaptama Anwar di Universiti Sorbonne, khususnya konsep “Habits of the Heart” oleh Alexis de Tocqueville, yang menekankan nilai kewarganegaraan dan keutuhan masyarakat.
Anwar dan Macron sependapat bahawa kerjasama sejati antara negara harus berasaskan saling menghormati, kepercayaan serta kejelasan moral, bukan semata-mata hubungan bersifat transaksional.
“Malaysia akan terus menjadi rakan yang konstruktif dan komited dalam memperkukuh multilateralisme serta mendukung penyelesaian adil dan berkekalan demi dunia yang lebih aman,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengundang Macron untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bagi meneroka potensi baharu kerjasama dua hala, termasuk dalam kerangka ASEAN dan pelbagai platform antarabangsa. — Edisi 9

