CYBERJAYA – Pegawai kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan laporan media bahawa bekas Ahli Parlimen Gombak itu mengugut menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Muhamad Hilman Idham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu berkata, laporan media terbabit berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
“Laporan tersebut diyakini bertujuan untuk menggugat kestabilan dan perpaduan yang semakin utuh dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendukung kepimpinan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.
“Amat dikesali, kedua-dua portal media tersebut tidak dapat mengesahkan kebenaran sumber yang dilaporkan demi menjamin laporan yang tepat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Astro Awani.
Hilman adalah Setiausaha Politik Azmin ketika bekas Timbalan Presiden PKR itu menjawat Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Sebelum ini media melaporkan Azmin hampir pasti dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Ismail Sabri bagi mengekalkan sokongan majoriti terhadap kerajaan.
“Sumber-sumber mendakwa Azmin mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail bersama penyokongnya jika tidak diberikan jawatan itu,” kata Malaysiakini.
Azmin merupakan antara penyebab kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila membawa sembilan Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti bersama-sama Bersatu menerusi apa yang dipanggil Langkah Sheraton.
Sehubungan itu beliau dianggap mempunyai ‘kekuatan’ mempengaruhi ahli-ahli Parlimen bekas PKR yang kini menyertai Bersatu, termasuk menarik balik sokongan terhadap PN jika perlu.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah mengesahkan ahli-ahli Parlimen PN memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ismail Sabri untuk menerajui kerajaan PN hari ini. – Edisi 9