Tuesday, July 21, 2026

Zahid anggap tiga tahun sebagai TPM amat mencabar

Sepanjang tempoh ini, tumpuan saya hanyalah satu iaitu untuk memastikan setiap dasar, setiap keputusan dan setiap langkah kerja benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap tempoh tiga tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebagai sangat mencabar dan penuh dengan pengalaman baharu.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana dalam tempoh tersebut banyak pencapaian yang membawa makna kepada rakyat dan negara diperoleh.

“Sepanjang tempoh ini, tumpuan saya hanyalah satu iaitu untuk memastikan setiap dasar, setiap keputusan dan setiap langkah kerja benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi media sosial sempena genap tiga tahun beliau dalam Kabinet Kerajaan Madani, hari ini.

Zahid berkata, sepanjang tempoh tersebut pelbagai usaha telah dilakukan termasuk memperkukuh ekosistem pembangunan desa, mengangkat pendidikan TVET dan memperkasa ekonomi bumiputera.

Selain itu, beliau berkata, mengembangkan industri halal, memodenkan pengurusan bencana sehingga menyantuni komuniti luar bandar di seluruh negara, semuanya digerakkan dengan iltizam bahawa tiada siapa harus tercicir dalam arus kemajuan negara.

Tegas beliau, segala pencapaian tersebut tidak mungkin berlaku tanpa sokongan padu daripada seluruh jabatan yang dikemudi, warga KKDW, agensi-agensi di bawahnya, rakan-rakan kementerian, kepimpinan negara dan pastinya rakyat Malaysia yang terus percaya kepada usaha yang sedang kita jalankan.

“Terima kasih atas kepercayaan dan doa yang tidak pernah putus.

“Insya-Allah, saya akan terus memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Perjalanan ini masih panjang dan masih banyak yang perlu kita jayakan bersama.

“Moga Allah SWT terus memandu langkah kita untuk memastikan Malaysia melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang maju, bermaruah dan sejahtera,” katanya.

Zahid diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta memegang portfolio sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Disember ekoran pembentukan Kerajaan Perpaduan setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau memenangi PRU-15 bagi Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 348 undi. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan