25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Nama Azmin semakin kuat disebut-sebut bakal TPM

Mesti Baca

CYBERJAYA – Teka-teki siapa yang bakal dilantik sebagai timbalan perdana menteri masih belum terjawab walaupun beberapa nama disebut-sebut.

Antara nama paling kuat didendang ialah bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malaysiakini yang memetik beberapa sumber dalam UMNO dan Bersatu melaporkan Ahli Parlimen Gombak itu hampir pasti menjadi orang nombor dua dalam kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Media itu mendakwa, langkah melantik Azmin sebagai timbalan Perdana menteri bagi mengekalkan sokongan majoriti terhadap kerajaan.

Ismail Sabri yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Sabtu lalu memperoleh sokongan 114 daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

“Sumber-sumber mendakwa Azmin mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail bersama penyokongnya jika tidak diberikan jawatan itu,” kata Malaysiakini.

Bagaimanapun laporan lain menyebut beberapa pemimpin kanan Bersatu antaranya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusoff turut dikaitkan untuk mengisi jawatan tersebut.

Advertisements

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Sementara itu, seorang pemerhati politik berkata, Ismail Sabri tidak perlu melantik seorang timbalan perdana menteri sekiranya terlalu ramai yang ingin menjawat jawatan tersebut.

Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad berkata, jawatan tersebut bukanlah satu kemestian dan perkara itu pernah dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

“Tidak perlu timbalan perdana menteri. Cukup dengan menteri-menteri kanan seperti dilakukan Muhyiddin tempoh hari.

“Apa yang penting sekarang ialah mengeratkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan hari ini agar membentuk kerajaan yang stabil,” katanya hari ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan