23.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 7, 2021

Syed Saddiq tidak harus lempar tuduhan terhadap PN

Mesti Baca

Dakwaan terima ugutan daripada PN hanya usah alih pandangan rakyat

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan memanfaatkan peluang berhadapan dengan hakim di mahkamah sebagai jalan terbaik untuk membersihkan namanya.

Seorang penganalisis politik berkata, tidak seharusnya Syed Saddiq melemparkan tuduhan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa beliau menerima tekanan agar menyokong parti itu.

“Sekiranya tidak bersalah, mahkamah adalah tempat terbaik untuk tertuduh, Syed Saddiq untuk membersihkan namanya,” katanya yang enggan dikenali kepada Edisi 9 hari ini.

Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Armada Bersatu yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Malam tadi, Ketua Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA) yang belum diluluskan itu menyifatkan dakwaan mahkamah yang dikenakan ke atasnya ada kaitan dengan sidang Parlimen minggu depan.

Baca juga:   PEMULIH manifestasi keprihatinan kerajaan PN

Beliau mendakwa, ini kerana sebelum ini beliau beberapa kali diugut agar menyertai PN jika tidak mahu dikenakan pendakwaan.

“Lebih setahun saya diugut untuk didakwa jika tidak menyertai Perikatan Nasional. Setiap kali ada undian penting di Parlimen ugutan akan datang.

Baca juga:   Najib, Jho Low antara disaman 1MDB, SRC

“Pada bulan Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang. Saya lebih rela masuk mahkamah daripada masuk Perikatan Nasional,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuatkan dalam Twitternya.

Penganalisis politik tersebut berkata, kerajaan PN konsisten tidak mencampuri urusan pertuduhan dan pendakwaan di mahkamah.

Sebaliknya, kata beliau, tertuduh perlulah menjalani proses perundangan berpandukan The Rule of Law.

Katanya, tindakan melemparkan tuduhan menerima tekanan daripada kerajaan PN itu hanyalah cubaan mengalihkan pandangan rakyat.

“Ini seolah-olah satu cubaan untuk mengalihkan pandangan rakyat, dengan membawa persepsi bahawa beliau tidak bersalah sebelum dibicarakan,” katanya.

Jelas penganalisis itu, perkara-perkara yang dibawa ke mahkamah tertakluk kepada undang-undang subjudis iaitu perkara atau kes di bawah pertimbangan kehakiman.

Oleh itu perkara tersebut tidak boleh dibincangkan di luar mahkamah ketika kes ini didengar depan hakim, katanya.

Syed Saddiq sebelum ini dilapor akan membuat pendedahan isu tersebut secara langsung menerusi media sosial malam ini. – Edisi 9

Terkini

Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluangkan masa menziarahi pusara bekas 'sifu' atau mentor politiknya, Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan