24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Jangan bebankan BNM kawal selia TH – Anwar Ibrahim

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu ambil alih Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyelia organisasi itu bagi tujuan menambah baik pengurusan dan operasinya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, beliau berkata, TH perlu diserah kepada pengurusan yang lebih cekap tanpa dikawal selia dan membebankan lagi BNM bagi menguruskan dana organinasi itu.

“Kalau ada masalah pengurusan sekalipun, mustahil tidak ada orang yang layak menguruskan TH dalam jutaan orang umat Islam ini,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebooknya hari ini.

Presiden PKR itu berkata, banyak lagi urusan BNM tidak terkendali seperti moratorium pun belum selesai untuk rakyat.

“Jangan bebankan BNM dalam hal-hal yang mungkin jejaskan kepentingan umat dan TH,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan, orang politik berkepentingan juga tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan organisasi itu.

Advertisements

“Tidak adakah yang mampu mengurus dengan baik tanpa campur tangan politik. Yang menjahanamkan institusi ini ialah campur tangan orang politik.

“Keluarkan orang politik dari pengurusan TH, selamatkan wang rakyat,”katanya.

Di samping itu, Anwar turut memberi cadangan agar diletakkan wakil daripada Kementerian Kewangan untuk berada dalam Ahli Lembaga Pengarah TH bagi melicinkan lagi pengurusan operasi dana itu.

“Lantik pengurus yang mampu mengendalikan dengan baik kerana selama berpuluh tahun ini, TH mempunyai rekod yang baik.

“Segala usaha ini boleh dijalankan bagi menyelamatkan dana dengan lebih 9 juta pendeposit ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan bersetuju meletakkan TH di bawah kawal selia BNM bagi menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan