32.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 3, 2023

JanaNiaga bantu PKS atasi masalah aliran tunai

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PUTRAJAYA – Platform JanaNiaga akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan kepada PKS akan diberikan melalui pinjaman daripada institusi-institusi kewangan melalui platform JanaNiaga.

Menurut beliau, platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional seperti JanaNiaga ini memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar.

“Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan serta pengunaan teknologi baharu bagi mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya ketika berucap melancarkan JanaNiaga secara maya di sini, hari ini.

Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional yang diberi nama JanaNiaga telah diumumkan pada 6 November 2020 semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Tengku Zafrul menambah, seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, platform JanaNiaga akan diterajui oleh EXIM Bank, dengan penglibatan beberapa institusi kewangan di Malaysia.

Baca juga:   Kewangan negara stabil, hutang terkawal - Tengku Zafrul

Beliau memberitahu, bagi memastikan bantuan kepada PKS dapat diberikan dengan secepat mungkin, peruntukan sebanyak RM300 juta telah disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga.

“Jumlah ini dijangka akan mencecah RM1.2 bilion dengan peruntukan tambahan daripada institusi-institusi kewangan yang akan menyertai JanaNiaga secara berfasa.

Baca juga:   Orang ramai diajak bagi cadangan Bajet 2022 - Tengku Zafrul

“Dengan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah ini akan bakal menyumbang sebanyak RM4.8 billion setahun kepada kecairan tunai PKS,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, platform JanaNiaga berterajukan pembiayaan invois daripada pembekal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi portal digital.

Menurut beliau, dengan sokongan GLC, pembekal-pembekal PKS akan menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus, jauh lebih rendah daripada pembiayaan pada kadar biasa.

“Permohonan pembiayaan juga dibuat secara dalam talian, membolehkan setiap permohonan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja,” ujarnya.

Kata Tengku Zafrul, pada peringkat awal, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama PETRONAS dan Telekom Malaysia. – EDISI 9

Wartawan

Terkini

Liga Super: Terengganu mudah jinakkan Perak

TERENGGANU seperti dijangka tidak berdepan masalah untuk menundukkan Perak 3-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Perak,...

Lagi Artikel Berkaitan