29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PKPD 29 lokaliti seluruh negara mulai 27 Julai

Mesti Baca

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di 29 lokaliti sekitar Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah dan Sabah mulai 27 Julai hingga 9 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media hari ini berkata, lokaliti dikenakan PKPD bermula Selasa ini adalah 14 kampung dalam daerah Pasir Puteh, Kelantan.

Menurut beliau, enam daripadanya di mukim Bukit Jawa iaitu Pekan Selising, Kampung Selising, Kampung Tok Dir, Kampung Pak Omar, Kampung Bukit Bidang dan Kampung Bukit Merbau.

Lapan lokaliti lagi di mukim Bukit Abal iaitu Kampung Berangan, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Alor Geliong, Kampung Banggol Jenereh, Kampung Kubang Sawa, Kampung Lubuk Kedondong, Kampung Chat dan Kampung Banggol Dollah.

Empat kampung dalam mukim Ulu Selama di Perak turut dilaksanakan PKPD, iaitu Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Garok dan Kampung Tapah.

PKPD turut dilaksanakan di sembilan lokaliti di beberapa daerah di Sabah, iaitu Kampung Mananam di Tongod; Taman Semarak Megah, Tawau; Kampung Sangkabok, Menumbok; Ladang Belian, Kalabakan; Kampung Sumaang, Ranau; Kampung Pelakat dan Kampung Pelakat Paya di Sipitang; serta Kampung Batandok dan Kampung Menanjung di Beaufort.

Dua lagi kawasan dikenakan PKPD adalah Kampung Teluk Menara di mukim Manir, Kuala Terengganu, Terengganu dan Kampung Bukit Malut di Pulau Langkawi, Kedah.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan memberitahu, pelaksanaan PKPD di Kampung Gong Jering di Pasir Puteh, Kelantan yang dijadualkan berakhir esok, akan dilanjutkan hingga 9 Ogos depan.

PKPD yang dilaksanakan di Damai Apartment, di Damansara, Petaling, Selangor sejak 18 Julai lalu, akan ditamatkan hari ini, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Beliau menambah, lapan PKPD di Sabah pula akan ditamatkan esok seperti dijadualkan, iaitu Kampung Nahaba, Tegudon, Kota Belud; Borneo Timber, Tongod; Kampung Tebongon, Putatan; Kampung Jempangah dan Kampung Rancangan Klias di Beaufort serta Jalan Pasir Likas, Taman Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru di Kota Kinabalu.

Selain itu, pelaksanaan PKPD di sembilan lokaliti di Sabah dan Selangor akan ditamatkan, manakala satu PKPD di sebuah kampung di Kelantan akan dilanjutkan.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, seramai 482 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), dengan 457 individu dikompaun, manakala 11 lagi direman dan 14 dijamin.

Menurut beliau, sebanyak 49 premis merangkumi kilang, perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana melanggar SOP kawalan penularan COVID-19.

“Pasukan keselamatan juga berjaya menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua kenderaan darat dalam Op Benteng semalam,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan