32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Raja Salman titah KSrelief bantu Malaysia tangani COVID-19

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

RIYADH – Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman telah menitahkan Pusat Bantuan dan Tindakan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief) memberi bantuan bekalan perubatan segera termasuk sejuta dos vaksin kepada Malaysia bagi membantu menangani cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19.

Memetik laporan Saudi Gazette hari ini, titah diraja kepada badan kebajikan Arab Saudi itu adalah susulan permohonan yang dikemukakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Putera Mahkota Muhammad bin Salman.

Ketua Penyelia KSrelief merangkap penasihat Istana Arab Saudi, Abdullah Al-Rabeeah berkata, titah Raja Salman itu menggambarkan hubungan yang sangat erat antara dua negara.

“Kami akan bekerjasama dengan Pejabat Menteri Luar Malaysia bagi memeterai kontrak dengan salah satu pengeluar vaksin antarabangsa bagi membekalkan jumlah yang diperlukan terus kepada Malaysia,” katanya.

Advertisements

Sementara itu, Hishammuddin dalam hantaran Facebook beliau menjunjung kasih bagi pihak kerajaan Malaysia kepada Raja Salman, Putera Mahkota Muhammad bin Salman dan kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam itu.

Menurut beliau, bantuan itu adalah satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.

“Insya-Allah, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang negara perlukan sekali gus memastikan titah baginda Raja Salman ini berjalan lancar,” jelasnya.

Hishammuddin memberitahu, berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Putera Mahkota Muhammad bin Salman sewaktu beliau menghubungi baginda hari ini. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan